
SIMANGGANG: Semangat gotong-royong dan ukhuwah jelas terpancar apabila Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dengan kerjasama Persatuan Korban Kampung Tengah Sri Aman menganjurkan Program Ibadah Korban 2026 di Gelanggang Futsal Kampung Tengah Sri Aman, hari ini.
Program tahunan itu berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 28 peserta korban terdiri daripada warga PPD Sri Aman serta penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan ibadah korban melibatkan empat ekor lembu.
Suasana harmoni dan penuh muafakat dapat dilihat apabila para peserta berganding bahu melaksanakan pelbagai tugasan sepanjang program bermula seawal pagi.
Penganjuran program tersebut bertujuan memupuk semangat kerjasama dan ukhuwah antara warga pendidikan dengan komuniti setempat selain menghayati nilai pengorbanan dan keikhlasan menerusi ibadah korban.
Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat ibadah korban sebelum diteruskan dengan proses penyembelihan dan melapah daging yang dilakukan secara bergotong-royong.
Program kemudian diteruskan dengan penyerahan daging korban yang disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin kepada para penerima dan peserta terlibat.
Turut diadakan ialah penyampaian saguhati kepada Pengerusi Persatuan Korban Kampung Tengah Sri Aman sebagai penghargaan atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Penyelaras Program, Ustaz Syaifullah Ismail berkata program seumpama itu bukan sahaja mengimarahkan syiar Islam malah menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara warga PPD Sri Aman dan masyarakat setempat.
Menurutnya, semangat kerjasama dan gotong-royong yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung amat membanggakan serta memperlihatkan nilai perpaduan dalam komuniti.
Sementara itu, Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kelancaran program berkenaan.
Beliau berharap program sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang kerana bukan sahaja memperkukuhkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat, malah menyemai nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam komuniti.
Oleh Adi Safarman