
MARUDI: Program KomunitiKu Sayang merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) yang dirangka bagi mendekati komuniti menerusi pendekatan pendidikan, perkongsian ilmu serta penyampaian bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti yang selamat, sihat, berdaya tahan dan lestari, selaras dengan aspirasi BPHB untuk mewujudkan nilai bersama kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program KomunitiKu Sayang Siri 7 yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, di Balai Raya Kampung Narum, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara BPHB dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan pengetahuan komuniti dalam aspek keselamatan kebakaran, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta pertolongan cemas, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan pedalaman.
“Sesungguhnya tanpa komitmen, kepakaran dan sokongan padu daripada JBPM, program ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata, kepakaran yang dikongsikan oleh pegawai dan anggota JBPM bukan sahaja memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat, malah meningkatkan kesedaran serta membina keyakinan komuniti untuk bertindak dengan lebih cekap sekiranya berdepan situasi kecemasan.
Ruslan berkata, Marudi dipilih sebagai lokasi penganjuran Program KomunitiKu Sayang Siri 7 kerana daerah itu merupakan kawasan pedalaman yang memerlukan lebih banyak pendedahan berkaitan aspek keselamatan, kesiapsiagaan bencana dan pembangunan komuniti.
Beliau berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan kebombaan, kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar, di samping memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan BPHB sebagai syarikat yang komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
Bagi menyokong objektif itu, BPHB turut menyumbangkan 150 unit alat pemadam api jenis serbuk kering ABC seberat sembilan kilogram kepada para peserta. Beliau berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meningkatkan tahap keselamatan kediaman serta memupuk budaya pencegahan kebakaran dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, menerusi Yayasan Bintulu Port, BPHB turut menyampaikan sumbangan CSR kepada komuniti Kampung Narum berupa sebuah sistem pembesar suara, 50 buah kerusi dan lima unit meja bulat.
Beliau berharap kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan komuniti.
Oleh Jiku Juguong