
LUBOK ANTU: Program Bersama Komuniti Batang Ai 2026 yang berlangsung di Rumah James Jembon hari ini berjaya menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan serta penduduk setempat dalam usaha memperkukuh kesedaran kesihatan, kebajikan dan penyampaian perkhidmatan komuniti.
Program berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat apabila pelbagai perkhidmatan disediakan secara terus kepada penduduk, sekali gus memudahkan urusan harian mereka.
Antara tumpuan utama ialah kaunter lesen anjing yang dibuka oleh Majlis Daerah Lubok Antu, yang berjaya mendaftarkan sebanyak 36 ekor anjing peliharaan sepanjang program berlangsung.

Selain itu, seramai 27 penduduk turut berjaya mendaftar SarawakPass menerusi kaunter khas yang disediakan bagi memperluas penggunaan perkhidmatan digital kerajaan.
Program itu turut menampilkan kaunter vaksinasi anti-rabies, pemasangan mikrocip serta pendidikan kesihatan berkaitan rabies yang dikendalikan oleh Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pasukan Penguatkuasaan Zon Imun (IBET).
Dalam masa sama, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman membuka kaunter khas bagi memberikan khidmat nasihat serta bantuan kebajikan kepada penduduk yang memerlukan.

Perasmian rumah panjang baharu itu memberi manfaat kepada 14 pintu kediaman yang turut menerima kemudahan pendawaian elektrik, sekali gus menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada penduduk.
Penduduk menyifatkan program seumpama itu amat bermanfaat kerana menghimpunkan pelbagai agensi di satu lokasi, selain menjimatkan masa dan kos perjalanan ke bandar.
Program Bersama Komuniti Batang Ai 2026 dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat luar bandar melalui pendekatan turun padang serta penyampaian perkhidmatan secara terus kepada komuniti.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh yang turut merasmikan rumah panjang baharu bagi komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman