
MIRI: Warga Miri berpeluang mendapatkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma melalui Program Khidmat Nasihat Undang-Undang Percuma anjuran Pusat Khidmat Parlimen Miri, 7 November ini.
Program tersebut bermula 1.30 petang hingga 4.30 petang akan diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Miri, Tingkat 1, Jalan Baiduri 4, Pujut 4.
Program yang diterajui oleh Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan nasihat guaman percuma daripada barisan peguam profesional dalam pelbagai bidang undang-undang.
Chiew berkata, antara khidmat yang ditawarkan termasuk urusan harta pusaka dan wasiat, perceraian dan hak penjagaan anak, isu sewaan dan pemilikan harta, kes gangguan, fitnah serta kesalahan jenayah kecil, selain panduan mengenai prosedur mahkamah dan dokumentasi undang-undang.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan keadilan dan akses kepada maklumat perundangan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi.
“Program ini diadakan bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan khidmat guaman berbayar, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memahami undang-undang asas yang melibatkan urusan peribadi, keluarga dan harta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chiew, turut menggalakkan warga Miri yang memerlukan bantuan perundangan agar merebut peluang ini dan mendaftar lebih awal memandangkan tempat adalah terhad.
Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan janji temu, orang ramai boleh menghubungi talian 012-852 0946.
Program ini sekaligus memperkukuh peranan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri sebagai platform advokasi, sokongan dan penyelesaian isu masyarakat, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai keadilan, ihsan dan kesejahteraan rakyat.
Oleh Liong Chai Ling