Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Program Khatan Perdana ‘Juh Sunat Gik’ Kampung Melayu Betong tarik 38 peserta
  • Tengah
  • WILAYAH

Program Khatan Perdana ‘Juh Sunat Gik’ Kampung Melayu Betong tarik 38 peserta

Utusan Sarawak 10 hours ago
PROGRAM Khatan Perdana “Juh Sunat Gik” Kampung Melayu Betong 2025 yang berlangsung di Masjid Jamek Betong kelmarin. Foto: LKAMB

BETONG: Seramai 38 peserta menyertai Program Khatan Perdana ‘Juh Sunat Gik’ Kampung Melayu Betong 2025 yang berlangsung di Masjid Jamek Betong, dekat sini kelmarin, dengan sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Program julung kali dianjurkan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang, yang menyifatkan penganjurannya sebagai satu inisiatif murni dan berjaya menghimpunkan penyertaan ramai kanak-kanak serta sokongan padu komuniti kampung dan kariah masjid.

Beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Lembaga Khairat Dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) selaku penganjur dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong serta Hospital Betong.

Menurutnya, pelaksanaan program tersebut yang merupakan program terakhir dalam takwim 2025 LKAMB membuktikan keupayaan penganjur melaksanakan amanah dengan cemerlang selepas beberapa siri program tahunan yang dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya.

Hamdan yang juga Timbalan Pengerusi LKAMB berkata, kejayaan penganjuran program itu memberi peluang kepada kanak-kanak menjalani ibadah berkhatan sebagai langkah menjaga kebersihan diri serta persediaan sebelum menempuh alam remaja.

“Bersunat merupakan salah satu tuntutan agama yang wajib dilaksanakan, dan program seumpama ini dapat membantu ibu bapa khususnya daripada golongan memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Program Khatan Perdana berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang selagi mendapat sokongan dan sambutan daripada penduduk Kampung Melayu Betong.

Program kali ini turut mendapat sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan semburan air sebagai simbolik sebelum acara bermula, sekali gus menambah kemeriahan program.

Turut hadir, Penghulu Kampung Melayu Betong, Abang Suhailie Abang Pay; Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong, Nasir Hadami; Setiausaha LKAMB, Dr Khamri Katang serta ketua-ketua kampung sekitar.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Bomba berjaya selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam kereta berkunci

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.