
KRIAN: Program Kesedaran Denggi dan Bomba Bersama Komuniti di Rumah Makup, Lempa, Kabo menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kesihatan, keselamatan dan jenayah yang memberi kesan kepada komuniti luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata program itu memberi peluang kepada penduduk mendapatkan penerangan secara langsung daripada agensi berkaitan mengenai pelbagai isu semasa yang memerlukan perhatian masyarakat.
Beliau berkata antara pengisian program berkenaan termasuk ceramah pencegahan penyakit denggi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Saratok, penerangan mengenai ancaman penyalahgunaan dadah dan penipuan dalam talian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Saratok serta taklimat keselamatan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Saratok.
“Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat, malah membantu komuniti supaya lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Denggi dan Bomba Bersama Komuniti di Rumah Makup, Lempa, Kabo yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Majlis Daerah Saratok, semalam.
Friday berkata program itu turut bertujuan melengkapkan pengetahuan, memperkasa serta meningkatkan penglibatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti kerajaan di peringkat akar umbi.
Menurutnya, usaha itu akan memperluas pemahaman KMKK terhadap dasar dan agenda pembangunan kerajaan, sekali gus membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat setempat.
Beliau berkata penglibatan aktif semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan komuniti, diyakini mampu mempercepat proses transformasi kawasan luar bandar selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Oleh Adi Safarman



