
BINTANGOR: Sambutan menggalakkan terhadap Program Kesedaran Kesihatan 2025 membuktikan keprihatinan masyarakat Meradong terhadap penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit.
Hadir bagi merasmikan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, ia diadakan bersempena Pesta Meradong 2025 dan berjaya menarik kehadiran penduduk setempat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, mengikuti ceramah dan aktiviti berkaitan gaya hidup sihat.
“Tahap kesihatan masyarakat perlu diperkukuh melalui pendidikan berterusan dan amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan harian. Kesihatan adalah asas kepada kesejahteraan dan produktiviti masyarakat.
“Oleh itu, saya menggesa penduduk Meradong agar mengamalkan pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara konsisten serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya ketika berucap pada program tersebut bertempat di Dewan Masyarakat Bintangor, hari ini.
Katanya, program anjuran bersama agensi kesihatan, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, termasuk saringan tekanan darah, paras gula, indeks jisim badan (BMI) dan kaunseling pemakanan oleh pegawai perubatan serta pakar pemakanan.
“Turut diadakan adalah ceramah mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD), pencegahan kanser, kesihatan mental serta demonstrasi senaman ringan yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperkasakan komuniti melalui program kesedaran yang bersifat mendidik dan menyeluruh,” katanya.
Program Kesedaran Kesihatan 2025 turut menyediakan kaunter pameran pelbagai agensi untuk memberi maklumat mengenai perkhidmatan kesihatan, keselamatan makanan dan penjagaan diri, sekali gus memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
Turut hadir Setiausaha MDMJ, Lau Chi Sing, serta Timbalan Ketua Cawangan PBB Meradong, Konselar Samsawi Mohammad.
Oleh Earl Anek