
BINTANGOR: Seramai 121 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Mador terdiri daripada 96 murid serta 25 guru dan kakitangan menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga sekolah dalam menghadapi situasi kecemasan kebakaran melalui latihan praktikal serta pendedahan awal berkaitan prosedur keselamatan.
“Seramai enam anggota bomba bertugas mengendalikan program tersebut.
Program ini penting bagi memastikan murid dan warga sekolah memahami tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran, sekali gus dapat mengurangkan risiko kecederaan serta kerugian harta benda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Program kesedaran kebakaran itu bermula dari 9.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Katanya, antara pengisian utama program tersebut termasuk latihan pengosongan bangunan dan ceramah kesedaran keselamatan kebakaran.
“Selain itu, demonstrasi penggunaan alat pemadam api turut diadakan bagi memberi pendedahan secara praktikal kepada peserta supaya mereka lebih yakin menggunakan peralatan keselamatan kebakaran dengan cara yang betul ketika berdepan kecemasan sebenar.
Pameran jentera dan peralatan operasi bomba juga diadakan bagi memberi peluang kepada murid mengenali fungsi serta peranan pasukan bomba dalam menangani insiden kebakaran dan kecemasan,” katanya.
Oleh Earl Anek