
PAKAN: Program Kembara Jumpa Orang Muda Zon Borneo 2.0 disifatkan berjaya apabila mampu menyatukan belia pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni selama tiga hari di sini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejayaan tersebut jelas kelihatan apabila belia daripada pelbagai etnik dapat berkumpul serta mengeratkan silaturahim sepanjang program dijalankan di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan khasnya kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli kerana telah membawa program ini ke Sarawak dan juga ke kawasan Pakan atau Parlimen Julau.
“Kita dapat melihat dari apa yang berlaku di sini, ada masyarakat Iban, Melayu, Melanau dan sebagainya. Perasaan semangat kekitaan dan silaturahim yang erat selepas tiga hari berkampung di tempat ini.
“Inilah yang saya katakan program yang berjaya. Semua orang yang balik dari sini dalam semangat kerjasama yang tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian penutup program tersebut, bertempat di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong, hari ini.

Katanya, kementeriannya akan terus memberi sokongan terhadap penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang. Kita berharap program-program seperti ini juga dapat dianjurkan lagi di tahun-tahun akan datang.
“Kita dari Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan sentiasa akan memberi sokongan dan juga kerjasama di program-program pada masa akan datang. Insya-Allah,” katanya.
Ketika mengulas mengenai sesi dialog, beliau berkata soalan-soalan yang dibangkitkan belia mencerminkan sikap prihatin mereka terhadap isu kemasyarakatan.
“Ramai bertanya berkenaan dengan masalah dadah, kepimpinan, pembangunan insan dan masyarakat.
“Jadi, ini menunjukkan bahawa perasaan mereka yang begitu dekat dengan masyarakat, negeri dan juga negara telah meningkat. Ini trend yang bagus,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.
Oleh Earl Anek