
MARUDI: Pegawai Tadbir Sarawak, Pejabat Daerah Marudi, Fazwan Yunus memuji inisiatif Unit Pendidikan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Marudi kerana menganjurkan kursus jangka pendek seni tangan seperti pembuatan coklat, jambangan bunga dan hamper.
Menurut beliau, program ini bukan sahaja memperkasa masyarakat dengan kemahiran praktikal, malah turut membuka ruang dan peluang untuk menjana pendapatan melalui keusahawanan kecil.
Menurut beliau, bidang seni tangan seperti pembuatan jambangan coklat dan hamper kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Katanya, ia bukan sahaja memerlukan kreativiti dan ketekunan, malah mempunyai nilai pasaran yang tinggi, terutamanya sebagai cenderamata, hadiah korporat ataupun jualan bermusim.
“Saya percaya, dengan bimbingan jurulatih berpengalaman serta komitmen tinggi daripada para peserta, segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus ini akan menjadi asas kukuh untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Bilik Mesyuarat Wisma Persekutuan Marudi, hari ini.
Beliau berharap para peserta kursus ini tidak mensia-siakan ilmu yang diperoleh, sebaliknya meneruskan usaha dan mengambil peluang untuk mengembangkan kemahiran ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Gunakanlah platform media sosial dan pasaran digital untuk memasarkan hasil kerja dengan lebih luas dan sistematik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai KEMAS Marudi, Therry Noel George Anyi berkata bahawa Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) merupakan antara inisiatif utama KEMAS dalam menawarkan latihan kemahiran praktikal yang bersifat fleksibel, mudah diakses dan berorientasikan keusahawanan.
Katanya, kursus ini merangkumi pelbagai bidang seperti jahitan, masakan, dandanan diri, seni tangan dan komputer digital. Ia direka khas bagi membolehkan peserta memperoleh kemahiran baharu atau menambah nilai kepada kemahiran sedia ada dalam tempoh masa yang singkat.
Beliau turut menekankan bahawa melalui KKJP, KEMAS berusaha memperkasakan komuniti untuk menjana pendapatan sendiri, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan komuniti setempat.
Tambahnya, program seperti ini mencerminkan peranan aktif KEMAS dalam memperluas peluang keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi pemerkasaan ekonomi rakyat.
Oleh Jiku Juguong