
KUCHING: Program Kebajikan SUPP Bahagian Belia Cawangan Batu Kitang yang dianjurkan oleh Persatuan Keperluan Khas Kuching bertujuan menyantuni serta memperkukuh sokongan kepada komuniti berkeperluan khas, khususnya dalam aspek pembangunan insan dan kesejahteraan sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, berkata program seumpama itu bukan sekadar aktiviti kebajikan, sebaliknya satu platform untuk membuka peluang, membina keyakinan diri serta memberi harapan kepada golongan istimewa agar terus berperanan dalam masyarakat.
“Program ini bukan hanya tentang memulakan satu aktiviti, tetapi membuka pintu dan mencipta peluang untuk keadilan, kebebasan dan kepercayaan diri kepada setiap individu tanpa mengira kemampuan,” katanya ketika berucap pada program tersebut, hari ini.


Menurut beliau, latihan dan aktiviti yang dilaksanakan melalui pusat kebajikan berkenaan memberi nilai tambah kepada peserta, bukan sahaja dari segi kemahiran praktikal, malah membentuk jati diri, tujuan hidup dan harapan untuk masa depan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Persatuan Keperluan Khas Kuching atas komitmen dan keberanian meneruskan usaha kebajikan demi kepentingan komuniti berkeperluan khas.
Dalam pada itu, Lo Khere Chiang menzahirkan terima kasih kepada para jurulatih dan sukarelawan yang sanggup meluangkan masa, tenaga dan usaha bagi menjayakan program berkenaan.
“Walaupun sumbangan ini tidak selalu kelihatan, kesannya amat besar dan akan dirasai dalam jangka panjang oleh para pelatih serta keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengiktiraf peranan ibubapa dan penjaga yang disifatkan sebagai tunjang utama kepada kejayaan anak-anak berkeperluan khas, hasil kesabaran, kekuatan dan sokongan berterusan yang diberikan.
Mengulas penglibatan belia, beliau memuji inisiatif anak muda SUPP Batu Kitang yang tampil menyumbang tenaga dan kasih sayang sebagai manifestasi semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong program kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti berkeperluan khas, selaras dengan usaha membina masyarakat yang inklusif dan saling menyokong.
Oleh Shikin Mahmud