
MIRI: Program Kem Kanak-Kanak 2025 anjuran Pelayanan kanak-Kanak Gereja BEM Vista Perdana Iban Fellowship (VPIF) menampilkan modul khas kesedaran keselamatan kebakaran dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Lutong.
Seramai 70 peserta termasuk ibu bapa, guru Sekolah Minggu dan sukarelawan menyertai ceramah keselamatan kebakaran yang disampaikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah.
Program turut dimeriahkan dengan demonstrasi memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api mudah alih dan dapur gas, yang dikendalikan oleh PBK I Iskandar Aus bersama Pasukan Bravo dari balai berkenaan.

Menurut Penyelaras Pelayanan Kanak-Kanak (PKK), Deacon Rantis Salle, ini merupakan kali pertama ceramah keselamatan seperti itu dianjurkan khusus untuk jemaat gereja mereka.
“Pendedahan awal mengenai langkah asas keselamatan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api amat penting, khususnya kepada kanak-kanak dan masyarakat umum,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gereja BEM VPIF Miri, Rantai Achin turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Henry Jugah sebagai tanda terima kasih atas usaha berterusan pihak bomba dalam memberikan pendidikan keselamatan kepada komuniti.
Oleh Liong Chai Ling