Program Kampung Siaga perkasa komuniti luar bandar hadapi bencana

Facebook
WhatsApp
DATO Dr Richard Rapu hadir pada Majlis Penangguhan Program Kampung Siaga 221: ‘Komuniti Berdaya Tahan Bencana’ di Rumah Lawrence Ludan, Luban Ulu, Spaoh, hari ini. Foto: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Betong
 

SPAOH: Program Kampung Siaga 221: ‘Komuniti Berdaya Tahan Bencana’ anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat luar bandar terhadap risiko bencana.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, inisiatif ini menyasarkan komuniti kampung dan rumah panjang agar lebih bersedia mendepani pelbagai bentuk kecemasan melalui latihan lapangan, ceramah serta simulasi.

“Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk dalam mengurus situasi kecemasan, malah mempereratkan hubungan antara agensi keselamatan dengan komuniti setempat,” katanya semasa berucap pada majlis penangguhan program di Rumah Lawrence Ludan, Luban Ulu, Spaoh, hari ini.

Menurut beliau, komuniti yang kuat ialah komuniti yang memiliki ilmu, latihan dan perpaduan dalam menghadapi kemungkinan terburuk.

“Semoga program seperti ini terus menjadi platform menyemai budaya kesiapsiagaan di peringkat akar umbi, selaras dengan prinsip keselamatan awam yang inklusif dan menyeluruh,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program, secara langsung mahupun tidak langsung.

“Keselamatan bermula dari akar umbi. Bersedia hari ini, selamat masa hadapan,” ujarnya

Majlis penangguhan turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

Oleh Adi Safarman