
SARATOK: Program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya dilaksanakan dengan lancar di Rumah Mulok, Klua, Krian dengan penyertaan seramai 100 peserta.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, program berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk rumah panjang setempat.
Katanya, kehadiran ramai peserta menjadi faktor utama kejayaan penganjuran program tersebut sekali gus membuktikan masyarakat kini semakin peka terhadap aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana.
Program Kampung Siaga merupakan antara inisiatif utama APM dalam memberi pendedahan serta latihan asas kepada orang awam berkaitan ilmu pertahanan awam, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana.
Bagi memperkukuh pengisian program, beberapa agensi turut dijemput menjayakannya termasuk Polis Diraja Malaysia melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Saratok.
Agensi terbabit menyampaikan ceramah berkaitan peranan masing-masing, tindakan yang perlu diambil semasa bencana serta bantuan kebajikan kepada mangsa kecemasan.


Turut hadir sebagai penceramah jemputan khas ialah pegawai dari Pusat Pertahanan Awam Sarawak (PUSPA) iaitu Leftenan Mejar Hafizul Hafiz Hanafi dan Leftenan Mejar Roger Rupert.
Antara silibus disampaikan sepanjang program ialah pengenalan APM, kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR), bantuan kecemasan kes tercekik, balutan luka, pengendalian kepatahan serta teknik menyelamat kecemasan.
Penduduk rumah panjang bukan sahaja didedahkan dengan teori, malah menjalani sesi praktikal bagi memastikan mereka lebih bersedia, tenang dan tidak panik ketika menghadapi situasi sebenar.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini yang mewakili Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak.
Leftenan Nur Athirah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program tersebut, khususnya penduduk Rumah Mulok atas kerjasama dan komitmen diberikan.
Program seumpama itu katanya diharap dapat terus diperluaskan pada masa hadapan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti setempat dalam menghadapi sebarang bencana serta kecemasan.
Oleh Adi Safarman