
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan Program Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di tiga lagi sekolah Orang Asli pada tahun depan bagi membantu mengurangkan keciciran murid.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata program yang menawarkan pendidikan selama 11 tahun bermula Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dalam premis dan pentadbiran yang sama itu, akan dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jernang, Sungkai, Perak; SK Satak, Raub, Pahang; dan SK Datuk Undang Abdullah, Jelebu, Negeri Sembilan.
Pada masa ini, beliau berkata Program Sekolah K11 dilaksanakan di lima sekolah di Perak, Selangor, Pahang dan Sarawak, yang mengambil kira keperluan pendidikan, mesra rimba serta keterangkuman budaya masyarakat Orang Asli.
“Hingga November 2025, kadar transisi murid Orang Asli dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu adalah (meningkat) daripada 89 peratus pada 2023 kepada 94.70 peratus,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Shahrol Wizan Sulong mengenai perancangan KPM untuk mengembangkan model sekolah komuniti yang berteraskan keterkaitan dan keterangkuman budaya, mesra rimba, serta memberi latihan khusus kepada guru agar pendekatan pembelajaran lebih selaras dengan latar kehidupan dan budaya masyarakat Orang Asli.
Bagi memastikan guru dapat beradaptasi dan memahami budaya Orang Asli, Fadhlina berkata Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di Kuala Lipis, Pahang telah diangkat sebagai pusat kecemerlangan pedagogi Orang Asli.
“Selain itu, laluan khas pengambilan guru Orang Asli turut diperkenalkan bagi meningkatkan jumlah guru dalam kalangan komuniti Orang Asli. Hingga kini, 538 guru Orang Asli berkhidmat di sekolah seluruh negara,” katanya.
Fadhlina juga menyentuh inisiatif lain termasuk Program Jom Belajar yang merangkumi model Program Khas Murid Orang Asli dan Chup Badui Sikulah (CBS), dengan 299 kanak-kanak Orang Asli berjaya dipujuk untuk bersekolah hingga November 2025.
Selain itu, Program Khas Pendidikan Manusiawi (ProKhas) turut dilaksanakan bagi mendekati komuniti dengan guru bergerak ke penempatan murid, seperti Program Sekolah Terapung Tasik Banding di Gerik, yang menggunakan rumah rakit (houseboat) sebagai ruang pembelajaran mudah alih.
“Hingga kini, lima model ProKhas telah dilaksanakan di penempatan Orang Asli, peribumi, dan komuniti terpencil di Perak, Kelantan, dan Sabah melibatkan 246 murid.
“KPM juga bercadang untuk memperluas ProKhas ke Sarawak pada tahun 2026, khususnya melibatkan hampir 200 kanak-kanak Penan di Daerah Belaga, melalui konsep “Program Sekolah Bergerak” yang akan dikendalikan oleh guru-guru Penan sendiri, berteraskan budaya tempatan,” katanya.
Selain itu, Fadhlina berkata sokongan komuniti turut dipertingkatkan melalui Program Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Peribumi (KEDAP) melibatkan 2,048 ibu bapa di 84 buah sekolah sepanjang tahun ini yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan sokongan mereka terhadap pendidikan anak-anak. -Bernama