DARO: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM ) yang diadakan Long Mini Market Pekan Daro hari ini terus mendapat sambutan penduduk setempat.
Orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli barangan dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran biasa.
Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP Mukah) Salihin Den berkata ia adalah kali kesembilan program itu diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro.
“Program dimulakan sejam lebih awal berikutan orang ramai telah beratur panjang seawal jam 8.00 pagi. Rata-rata pengunjung yang ditemui menyambut baik penganjuran program ini.
“Mereka mencadangkan agar program ini diteruskan lagi bagi membantu menangani kos sara hidup yang kian meningkat, lantas dapat menjimatkan wang untuk perbelanjaan yang lain,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan pengguna untuk melayari laman rasmi facebook KPDNHEP Mukah bagi mengetahui tarikh dan lokasi JMKM yang akan datang
Oleh Henry B Siyu