
JULAU: Kira-kira 100 penduduk setempat hadir memeriahkan penutupan Program Cabaran Jom Fit, Jom Sihat Julau yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata majlis penutupan yang bermula dari 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari tersebut dihadiri oleh Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
“Program yang dianjurkan Pusat Khidmat Parlimen Julau ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan khususnya dalam kalangan penduduk berusia 40 tahun ke atas, selain menggalakkan pelaksanaan aktiviti gaya hidup sihat.
“Pihak kami (polis) sentiasa menyokong penganjuran program yang membawa manfaat kepada masyarakat kerana ia memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk.
“Program kesihatan sebegini bukan sahaja menyemai kesedaran mengenai pentingnya gaya hidup sihat, malah mengukuhkan hubungan baik antara agensi kerajaan, pihak berkuasa dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi media.
Katanya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat amat penting untuk mewujudkan komuniti yang sejahtera dan lebih selamat.
“Sepanjang majlis berlangsung, tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan keseluruhan majlis berjalan dengan lancar,” katanya.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Daerah Julau, Dr. Ling Qiao Shuang dan Pegawai Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Julau, Cecilia Daffi Francis.
Oleh Earl Anek