
BELURU: Sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja memberi peluang untuk menghayati semangat patriotisme, malah mengajak kita menilai semula keindahan dan keagungan negara tercinta.
Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisau, berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’, menggambarkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut beliau, Malaysia MADANI melambangkan erti kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menghayati semangat patriotik melalui pemikiran kritis, integrasi sosial dan ekonomi yang akhirnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.
Sementara itu, konsep Rakyat Disantuni pula mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina negara berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sosial.
“Rakyat Disantuni menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa diutamakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (Jiwa) Komuniti MADANI sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Rumah Panjang James Kaya @ Latip, Sungai Mallang Bakong, pagi semalam.
Tambah beliau, setiap langkah yang diambil bertujuan memastikan tiada seorang pun ketinggalan dalam menikmati pembangunan negara.
“Melalui program bantuan, pendidikan berkualiti dan akses kesihatan menyeluruh, kita bertekad membina masyarakat yang sejahtera dan inklusif,” katanya.
Charles juga menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat adalah tunjang utama dalam merealisasikan visi pembangunan negara.
Sebagai rakyat yang cintakan tanah air, beliau menggesa masyarakat setempat supaya bersama-sama menyemarakkan kempen Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September nanti.
“Kibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing kerana ia merupakan simbol kedaulatan negara yang perlu dikibarkan dengan cara yang betul agar imej negara sentiasa terjaga, terutama di mata pelancong dan warga asing,” katanya.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Marudi, Siti Mariam Mahdar, Penghulu Nora Ree, Ahli Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Martin Dinil, Ketua Wanita MADANI Sungai Mallang Bakong, Tuai Rumah (TR) Esah Kakok dan TR James Kaya @ Latip.
Oleh Jiku Juguong