
KOTA SAMARAHAN: Program Jelajah Jiwa Borneo 2025 menjadi landasan penting dalam usaha melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan malah turut memiliki kemahiran insani serta nilai kemasyarakatan.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, mahasiswa masa kini perlu bersifat holistik dengan penguasaan dalam aspek komunikasi dan kepimpinan, selain pencapaian akademik yang memberangsangkan.
“Perpaduan antara ilmu dan kemahiran amat diperlukan bagi meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran kerja.
“Peserta digalakkan agar memanfaatkan sebaik mungkin peluang sepanjang enam hari penganjuran program ini untuk memperluas jaringan sosial bersama komuniti setempat, rakan mahasiswa serta pihak industri.
“Nilai-nilai murni seperti semangat kekitaan, perpaduan, keberanian dan kecekalan merupakan asas utama Jiwa Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Jiwa Borneo 2025 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini.
Dalam pada itu, beliau yakin program ini mampu menyuburkan nilai-nilai murni tersebut melalui pengisian yang menyentuh aspek pendidikan, kesihatan, kelestarian, pendigitalan dan pemerkasaan sosial.
Program yang bermula hari ini hingga 10 Ogos itu disertai 180 mahasiswa yang akan melaksanakan aktiviti kesukarelawanan di empat kawasan iaitu Asajaya, Betong, Kuching dan Samarahan.
Penganjuran program bertujuan memperkukuh peranan pendidikan dan memperluas penglibatan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar melalui pelaksanaan aktiviti pembangunan insan, advokasi pendidikan dan inisiatif pemerkasaan sosial.
Program dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimas dengan kerjasama MPP Universiti Malaysia Sabah (UMS), MPP Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kelab Sukarelawan Mahasiswa Unimas.
Oleh Amanda L