DARO: Penganjuran Program Jelajah Belia Sarawak sejak tahun 2019 bukan bertujuan untuk berkempen atau berpolitik, sebaliknya bagi memajukan golongan belia yang menjadi harapan bangsa.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Hamzah menegaskan perkara itu semasa merasmikan Program Jelajah Belia Sarawak 2020 Peringkat Daerah Daro, di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan melaksanakan program itu kerana menyedari pentingnya fungsi belia sebagai aset pembangunan masa depan.
“Kita ingin belia sedar bahawa kerajaan tidak mengabaikan mereka. Malah ini merupakan satu peluang keemasan untuk mereka menimba ilmu dan pengalaman baharu,” ujarnya.
Katanya, golongan belia adalah generasi muda yang bakal mewarisi kemajuan dan kesejahteraan negara.
“Oleh itu, program yang diadakan sejak tahun lalu bukan untuk berkempen. Kita mengadakannya untuk belia kerana mereka aset yang paling berharga,” ujarnya.
Justeru, katanya lagi, tiada pemasangan dan pengibaran bendera politik ketika penganjuran program tersebut kerana tidak mahu melibatkan hal-hal politik.
“Penganjuran program ini bertujuan untuk membentuk acuan yang terbaik dalam kalangan belia agar mereka menjadi insan berkualiti.
“Selain itu, aspirasi golongan belia juga perlu diketahui. Ini kerana merekalah yang bakal membentuk negeri dan negara pada masa depan.
“Golongan belia juga bakal menjadi pemimpin masa depan yang berpotensi,” ujarnya.
Katanya, program seumpama itu berupaya menjadi acuan yang terbaik kepada belia untuk meningkatkan jati diri dan individu berkualiti.
“Kerajaan Sarawak tidak mengabaikan kepentingan belia di negeri ini. Kita sentiasa tampil dengan inisiatif terkini bagi memberi peluang kepada belia untuk menimba pengalaman baharu.
“Pada masa yang sama, kita membina dan menyediakan pelbagai fasiliti bagi memudahkan kelompok ini menjalankan aktiviti,” katanya.
Program tersebut adalah Siri Ke-11 dianjurkan khas untuk golongan belia di seluruh Negeri Sarawak.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Safiee Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhie dan Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir.
Oleh Akum Giman