
PETRA JAYA: Seramai 20 penerima menerima sumbangan menerusi Program Infaq Ramadan yang diadakan Kampung Boyan, di sini hari ini bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan sepanjang Ramadan.
Program yang berlangsung bermula tengah hari itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Perkumpulan Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) dimulakan dengan ketibaan penerima Infaq Ramadan pada 12.00 tengah hari, diikuti ketibaan jemputan serta ketibaan tetamu kehormat sekitar 1.00 petang.
Acara kemudian diteruskan dengan bacaan doa serta ucapan alu-aluan oleh Pengerusi PPWS Perkumpulan Gersik, Mori Mohamad Keria.

Seterusnya, Datuk Dr Abdul Rahmah menyampaikan ucapan perasmian sebelum berlangsungnya acara simbolik mengacau bubur lambuk sebagai tanda kebersamaan dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan Infaq Ramadan kepada 20 penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan, selain penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat.
Sebagai penutup, bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong diagihkan kepada orang ramai sebelum majlis bersurai.

Program seumpama ini diharap dapat memupuk nilai keprihatinan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, khususnya sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Norhasyimah Abdullah, Naib Pengerusi Norhashiba Awang Tambi, Setiausaha Dayang Kina Kavina Awang Kedri, Bendahari Asmah Amin, Penasihat Dato Sarbanun Merican dan ahli jawatankuasa.