KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur untuk mengekalkan pelaburan berimpak tinggi mereka di Malaysia, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, susulan itu kadar pelaburan asing dan domestik dalam negara turut dapat ditingkatkan, seterusnya menjana hasil positif untuk ekonomi negara.
“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diharapkan dapat mengembalikan keyakinan para pengguna dan mula berbelanja untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pasaran dalam negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Beliau berkata, majikan dan orang awam perlu memainkan peranan penting dalam memastikan program imunisasi yang akan dilaksanakan kelak berjalan lancar.
“MEF berharap penduduk di Malaysia termasuk warganegara, warga asing yang berdaftar dan tidak berdaftar serta penduduk suaka politik dapat menerima manfaat melalui program imunisasi ini,” katanya.
Pada Selasa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Februari 2021 sejurus selepas penghantaran pertama vaksin yang dijadualkan tiba pada 21 Februari.
Program imunisasi ini akan dijalankan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada 26 Februari hingga April 2021; fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022.
Selain itu, Shamsuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac tahun lepas, keadaan perniagaan amat terjejas dan dengan lebih 32,000 perniagaan ditutup serta lebih 100,000 pekerja hilang punca pendapatan.
Justeru, beliau berharap Majlis Pekerjaan Negara akan dapat menetapkan dasar proaktif yang boleh membantu majikan sektor swasta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. – Bernama