
MIRI: Program Ihya Ramadan telah dianjurkan di Masjid Darul Khairat Bakam, di sini melalui kerjasama Persatuan Jatti Miriek Miri (PJMM) dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bakam (LAKIB).
Menurut Naib Presiden PJMM, Dato Mohamad Safri Datuk Abdillah, program ini bertujuan mengimarahkan Ramadan selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh wakil Baitulmal Sarawak, Marini Juraibi, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas. Selepas itu, majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan Hari Raya kepada golongan yang memerlukan bagi membantu meringankan persiapan menyambut Aidilfitri.
Program turut dimeriahkan dengan pengagihan bubur lambok kepada masyarakat setempat. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat.
Menurut Dato Mohamad Safri, penganjuran program ini merupakan platform penting untuk mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Melalui penyampaian sumbangan Hari Raya ini, diharapkan ia dapat memberi kegembiraan dan membantu golongan yang memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Program ini mencerminkan komitmen berterusan PJMM dan LAKIB dalam melaksanakan aktiviti kebajikan serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam komuniti di kawasan Bakam dan sekitarnya,” katanya kepada media.
Oleh Adeng Edrus