
MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri melaksanakan Program Hari Pertama Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau, di sini semalam bagi meningkatkan kesedaran keselamatan serta mengeratkan hubungan antara polis, pihak sekolah dan komuniti setempat.
Program yang berlangsung dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi itu disertai Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah bersama ketua bahagian serta wakil ketua bahagian IPD Miri.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Mariam Haji Monek; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Unit Hal Ehwal Murid), Azuz Tahir; Guru Besar SK Merbau, Zahiril Jasmi Sayyom Abdullah serta Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Koperal Razman Mohamad dan Lans Koperal Mohd Khirjuhani Masarabi.
Menurut Polis Daerah Miri menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, program berkenaan bertujuan menyambut kehadiran murid pada hari pertama sesi persekolahan 2026 di samping menyemai kesedaran awal mengenai aspek keselamatan dalam kalangan murid dan warga sekolah.
Pada majlis itu, ACP Mohd Farhan membacakan perutusan Ketua Polis Negara kepada pelajar dan warga sekolah serta menasihati murid-murid agar mematuhi peraturan sekolah, menjaga disiplin, menghormati guru dan rakan-rakan serta menjauhi perbuatan jenayah, buli dan penyalahgunaan dadah.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan murid-murid dengan melawat bilik darjah sebagai tanda sokongan pihak polis terhadap kesejahteraan dan keselamatan pelajar.
Oleh Liong Chai Ling