
MUKAH: Program Gerak Ramadan serta agihan bubur pedas dan bubur lelu’iek (bubur sagu) merupakan inisiatif bersama tiga organisasi iaitu Perpustakaan Desa Kampung Teh, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Teh dan Tabika KEMAS Kampung Teh sempena Ramadan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan, sukarelawan dan kebajikan dalam kalangan warga ketiga-tiga organisasi berkenaan.
Program gotong-royong penyediaan bubur pedas dan bubur lelu’iek itu menyaksikan kerjasama erat ketiga-tiga organisasi yang berganding bahu menyediakan juadah sebelum diagihkan kepada penduduk Kampung Teh dan kawasan sekitar sebagai tanda kebersamaan serta semangat kekitaan, baru-baru ini.

Nurfatimah menyampaikan bubur pedas kepada masyarakat di Kampung Teh, Nur Hidayah Abdullah.
Inisiatif tersebut bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah memupuk nilai kerjasama, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga organisasi yang terlibat.
Sebanyak 350 bungkus bubur pedas dan bubur lelu’iek telah diedarkan kepada penduduk Kampung Teh dan kampung sekitar.
Turut hadir membantu mengedarkan juadah berbuka puasa ialah Penolong Perpustakaan yang juga Penyelia Perpustakaan Desa Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Zon 9 Sarawak, Patricia Alvina Anyau; Pengerusi KRT Kampung Teh, Rapiee Jaimin Yahya; Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah, Siti Nurfatimah Hussen; serta Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa Kampung Teh, Rikey La’ap.
Oleh Jiku Juguong