MERADONG: Program Gerai Lipat menjadi platform mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu adalah untuk menawarkan usahawan platform mudah alih untuk menjalankan perniagaan.
“Selain itu, meningkatkan daya saing mereka, dan meningkatkan kebolehpasaran produk luar bandar walaupun berskala kecil.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KEMAS atas usaha berterusannya untuk mewujudkan peluang perniagaan, khususnya kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan Program Gerai Lipat di Dewan Pejabat Daerah Meradong, semalam.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut menjelaskan bahawa inisiatif seperti ini penting untuk memperkasakan usahawan meningkatkan pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Selain itu, kemahiran yang diperoleh melalui program ini meningkatkan keyakinan peserta dan mendalami minat mereka dalam sektor perniagaan.
Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang dan Pegawai KEMAS Bahagian Sarikei, Banggie Mujap.