Intervensi amalan pengurusan diabetes
Apa tindakan anda apabila disahkan menghidap diabetes? Biasanya, langkah paling wajar adalah makan ubat yang diberikan oleh doktor secara berterusan untuk mengawal paras gula dalam darah walaupun hakikatnya ubat ini tidak menyembuhkan diabetes.
Sebenarnya ubat sahaja tidak memadai tetapi pesakit perlu membuat perubahan terhadap gaya hidup mereka jika ingin sembuh. Perubahan ini pula tidak mudah kerana ia banyak melibatkan diet, penurunan berat badan, aktif dan banyak lagi.
Menyedari para pesakit diabetes perlu sokongan untuk kekal sihat, pada 14 Mac lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan Program Gaya Hidup Diabetes (DLP) dalam
usaha untuk menerapkan intervensi gaya hidup bagi amalan pengurusan diabetes.
Antara lain tujuan program ini adalah untuk menambahbaik hasil rawatan diabetes, di samping mengurangkan beban terhadap pesakit, keluarga, sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.
DLP diterajui oleh beberapa persatuan seperti Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) dan Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES).
DLP akan memainkan peranan sebagai ‘suara’ untuk menyokong gaya hidup diabetes dalam kalangan ahli persatuan/akademi, ahli profesional perubatan dan kesihatan bersekutu, pesakit, media, dan pembuat dasar.
Menurut Pengerusi Panel Pakar DLP, Datuk Dr Zanariah Hussein, setakat ini intervensi gaya hidup merupakan ‘missing link’ atau jurang, bukan sahaja kepada ahli penjagaan kesihatan malah kepada para pesakit dalam pengurusan diabetes.
Beliau yang merupakan seorang Pakar Perunding Kanan Endokrinologi, berkata, diabetes adalah keadaan di mana gula darah seseorang itu sentiasa tinggi. Gula yang tinggi berpanjangan adalah serius kerana ia mengundang pelbagai komplikasi, termasuk serangan jantung, strok, kerosakan buah pinggang, kebutaan, kerosakan saraf yang boleh melumpuhkan, dan amputasi kaki.
“Sejak sekian lama, ahli penjagaan perubatan dan pesakit banyak bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal paras gula darah tinggi. Tidak dinafikan bahawa ubat adalah penting sekiranya disahkan perlu. Namun demikian, sekiranya pesakit tidak membuat sebarang perubahan gaya hidup dan terus menjalani gaya hidup yang tidak sihat, mereka mungkin akan memerlukan dos yang lebih tinggi atau lebih banyak ubat-ubatan.
Beliau menambah kata, kajian juga telah membuktikan perubahan gaya hidup turut memberi kesan positif. Pengurusan diet, gaya hidup aktif, pemantauan gula darah secara kendiri, dan penurunan berat badan merupakan langkah asas dalam menguruskan diabetes.
Kelestarian perubahan gaya hidup dan mengekalkan penurunan berat badan akan mengurangkan paras gula darah, kolesterol, dan tekanan darah, serta jumlah ubat yang diperlukan.
“Manfaatnya sangat jelas sehinggakan garis panduan amalan klinikal berkaitan diabetes mengesyorkan perubahan gaya hidup sebagai asas pengurusan diabetes, tidak kira untuk mereka yang belum atau telah mengambil ubat atau menerima rawatan insulin.
Bagaimanapun kata beliau, ramai ahli penjagaan kesihatan dan juga pesakit beranggapan intervensi gaya hidup dalam mengawal diabetes adalah tidak penting. Justeru pihaknya membentuk Program Gaya Hidup Diabetes ini untuk ahli profesional penjagaan kesihatan dan pesakit untuk mereka memahami kepentingan intervensi gaya hidup.
“Kami sediakan pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan pemakanan, menjalankan aktiviti fizikal secara aktif, memantau gula darah kendiri, dan memberi motivasi berterusan. Ini penting untuk memastikan ahli professional kesihatan dapat membantu pesakit meneruskan perubahan gaya hidup lantas mendapat hasil rawatan yang memberangsangkan,” tambah beliau.