
KUCHING: Program Asas Kepimpinan Lestari (ESG) – Usahawati Sarawak disifatkan sebagai platform penting untuk memperkukuh daya kepimpinan wanita dalam keusahawanan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Beliau menegaskan bahawa prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bukan hanya dikhususkan kepada syarikat besar, sebaliknya boleh dilaksanakan oleh usahawati melalui perubahan kecil tetapi memberi kesan.

“ESG bukan sesuatu yang rumit. Ia bermula dengan keputusan harian seperti bagaimana kita mengurus tenaga, sisa dan sumber.
“Jika inap desa menggantikan botol plastik dengan dispen air, itu ESG. Jika bisnes makanan mengkompos sisa dapur, itu juga ESG,” katanya ketika Program Asas Kepimpinan Lestari ESG Usahawati Sarawak, di Bilik Latihan MBKS, hari ini.
Menurut Nancy, program selama tiga hari itu memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, pembelajaran praktikal dan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu inisiatif ESG oleh setiap kumpulan peserta.
Beliau memuji komitmen penceramah, mentor dan rakan strategik yang menyediakan modul menyeluruh mencakupi teknologi, F&B, inap desa, kraf tangan dan penjenamaan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa wanita mempunyai kelebihan semula jadi dalam membuat keputusan berorientasikan masa depan.

“Apabila wanita membina sesuatu, mereka bukan hanya melihat keuntungan semata-mata, tetapi memikirkan keluarga, pelanggan, komuniti dan alam sekitar,” tambahnya.
Program itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai industri termasuk kraf tangan, makanan dan minuman, inap desa dan peruncitan sektor yang dianggap memainkan peranan dalam mengetengahkan identiti kreatif dan budaya Sarawak.
Dalam sidang media ringkas selepas program, Nancy memaklumkan bahawa penyertaan usahawati menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan 100 peserta menyertai edisi tahun ini berbanding hanya sekitar 25 peserta pada penganjuran terdahulu.
“Ini bukan bantuan diberikan begitu sahaja. Kita mahu mereka berpartisipasi. Peningkatan penyertaan menunjukkan wanita Sarawak bersedia belajar, memimpin dan membuktikan kemampuan mereka,” katanya.
Beliau berkata peserta perlu meyakinkan panel penilai mengenai kemampuan melaksanakan inisiatif ESG, sekali gus memastikan sokongan yang diterima benar-benar memberi impak kepada perniagaan masing-masing.
“Mereka mempunyai kemahiran dan potensi untuk meyakinkan penilai. Melalui sistem mentor dan mentee, seorang peserta akan melahirkan peserta baharu, dan dari situ terbina rangkaian pemimpin wanita yang lebih luas,” jelasnya.
Nancy berkata pendekatan itu dapat membantu peserta menjana pendapatan, meluaskan pengaruh dalam komuniti serta menyokong perkembangan usahawan wanita yang lain.
“Ini cara kita membantu, bukan sahaja di Sarawak tetapi untuk manfaat seluruh negara,” tegasnya.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Oleh Shikin Mahmud