

MASYARAKAT PRIHATIN...Program derma darah anjuran Kelab Rekreasi Warga JPJ Sibu mendapat sambutan menggalakkan.
SIBU: Program derma darah anjuran Kelab Rekreasi Warga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu yang diadakan buat julung kalinya baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menarik penyertaan 71 penderma.
Menurut jurucakap kelab, program yang berlangsung lebih lima jam di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di bandar ini telah melebihi sasaran awal Hospital Sibu iaitu 50 penderma.
Katanya, seramai 71 orang mendaftar sebagai penderma, namun dua daripadanya tidak melepasi pemeriksaan kesihatan kerana menghidap darah tinggi, manakala enam lagi gagal saringan.
“Hanya 63 penderma berjaya melepasi tapisan dan menyumbang kepada tabungan darah Unit Transfusi Darah Hospital Sibu,” katanya.
Beliau memberitahu, objektif program tersebut berjaya dicapai dan memberi impak positif, malah pihak Hospital Sibu turut menyatakan kesediaan untuk meneruskan kerjasama dengan kelab berkenaan pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Cawangan JPJ Sibu, Nurul Fairezzah Safri, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta mengumumkan bahawa program ini akan dijadikan acara tahunan kelab.
Oleh Akun Giman