
MIRI: Program khidmat bergerak yang dilaksanakan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau terus memainkan peranan penting dalam mendekati rakyat dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada komuniti setempat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, beliau turut menghadiri program berkenaan pagi tadi yang memberi tumpuan kepada bantuan bersemuka kepada orang ramai.
Menurutnya, antara perkhidmatan disediakan termasuk membantu permohonan Kad Kenyalang Emas (KGC), Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas Sarawak, pendaftaran Sarawak Digital ID serta urusan berkaitan platform Sarawak Pay (S Pay Global).
“Kami berharap melalui pendekatan bergerak ini, pasukan kami dapat lebih dekat dengan rakyat, memudahkan mereka mendapatkan bantuan, menyuarakan masalah secara langsung dan menerima bantuan dengan segera,” katanya di sini hari ini.

Sebastian Ting menambah, program khidmat bergerak itu dianjurkan setiap Ahad sebagai usaha berterusan untuk memahami keperluan masyarakat serta membantu permohonan pelbagai bantuan kebajikan.
“Inisiatif ini penting bagi memastikan setiap dasar dan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang layak,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling