Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Program Dayung Warisan perkasa wanita jadi pemimpin warisan budaya – Nancy
  • TEMPATAN

Program Dayung Warisan perkasa wanita jadi pemimpin warisan budaya – Nancy

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Nancy Shukri berucap pada Majlis Penutup Program Kepimpinan Belia Warisan Dayung di Old Court House, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Program Dayung Warisan berjaya memperkasa wanita sebagai pemimpin warisan budaya dengan membekalkan kemahiran, keyakinan dan platform untuk mendokumentasi serta menghidupkan kembali khazanah budaya tempatan agar kekal relevan untuk generasi akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata program berkenaan bukan sekadar memelihara warisan masa lalu, malah memastikan budaya terus hidup dan difahami dalam konteks semasa.

“Warisan bukan hanya objek lama di muzium. Ia adalah memori, identiti dan rasa kebersamaan kita yang hidup dalam bahasa, kraf tangan, manik, lagu serta amalan harian masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Kepimpinan Belia Dayung Warisan di Old Court House, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program itu menghimpunkan 30 wanita dari pelbagai latar belakang di Sarawak, termasuk pencerita, artis, penyelidik dan aktivis komuniti, dengan 27 peserta berjaya menamatkan program serta menghasilkan 17 projek perintis.

DATO Sri Nancy Shukri bergambar bersama peserta Program Kepimpinan Belia Warisan Dayung di Old Court House, di Kuching hari ini.

Antara hasil projek yang dihasilkan termasuk dokumentari, audio siar(podcast), majalah, arkib digital, bengkel kraf dan instalasi interaktif, yang kesemuanya bertujuan menceritakan kisah warisan dari perspektif komuniti sendiri.

Nancy berkata, penglibatan wanita dalam usaha pemeliharaan budaya amat penting kerana mereka sering menjadi penjaga ilmu, nilai dan tradisi dalam keluarga serta masyarakat.

“Jika kita tidak menceritakan kisah kita sendiri, orang lain akan menceritakannya bagi pihak kita. Sebab itu, inisiatif seperti Dayung Warisan penting bagi memastikan warisan Sarawak ditafsir dan dikongsi oleh anak Sarawak sendiri, khususnya wanita,” katanya.

Beliau turut menyifatkan perkataan ‘Dayung’ sebagai simbolik peranan wanita, yang bukan sahaja bermaksud wanita dalam bahasa Bidayuh, malah membawa makna dayung sebagai alat menggerakkan perahu ke hadapan.

“Wanitalah yang mendayung warisan ini ke hadapan, memastikan ia terus dilindungi dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Tanpa wanita, perahu ini tidak bergerak,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy menegaskan bahawa pemerkasaan wanita bukan hanya melibatkan sokongan kewangan, tetapi juga peluang, rangkaian serta keyakinan untuk memimpin perubahan dalam masyarakat.

Beliau berharap hubungan persahabatan dan kerjasama yang terjalin sepanjang program itu akan diteruskan, sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin warisan dari Sarawak pada masa depan.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Kes dera kanak-kanak 11 tahun di Saratok bukti keperluan tindakan pantas, kata Nancy
Next: Kerajaan Sarawak percepat ukur Tanah Hak Adat Bumiputera, tingkat ketelusan sistem tanah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.