
KUCHING: Pertandingan pengekodan seperti BugCrusher Junior Coding Hackathon 2025 yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) terus menunjukkan impak positif terhadap pembangunan bakat digital dalam kalangan pelajar di seluruh Malaysia.
Seramai 1,272 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru telah menyertai pertandingan BugCrusher Junior Coding Hackathon 2025 yang berlangsung selama empat bulan dan berakhir dengan majlis penutupan di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka, Kuching.
Inisiatif yang dimulakan pada 2020 ini merupakan hasil kerjasama SDEC bersama Pusat Pembelajaran Seronok dan Realistik dan kini memasuki tahun keenam penganjurannya serta BugCrusher kini diiktiraf sebagai antara program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matemarik (STEM) sokongan paling menarik di Malaysia.
Sorotan program BugCrusher 2025 pada kali ini adalah melibatkan 1,272 peserta dari seluruh negara, termasuk 528 pelajar dan 176 guru dari Sarawak, menjangkau 19 kawasan luar bandar di Sarawak dengan penyertaan 300 pelajar dan 100 guru.

Format pertandingan berlangsung dari Mac hingga Julai 2025 melibatkan empat peringkat iaitu hackathon fizikal, cabaran dalam talian, dan bengkel bersama guru.
Terbahagi kepada dua kategori, iaitu Junior (umur 10 hingga 12 tahun) yang menggunakan Scratch, dan Senior (umur 13 hingga 15 tahun) yang menggunakan HTML/CSS atau Advanced Scratch.
Daripada jumlah keseluruhan peserta, 954 adalah pelajar dan 318 guru. Selain penyertaan tinggi dari Sarawak, sebanyak 426 pelajar dan 142 guru adalah dari negeri-negeri lain.
Antara finalis bagi kategori Junior adalah dari Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor manakala, kategori Senior menyaksikan finalis dari Sarawak dan Pulau Pinang menggambarkan kesediaan digital dan minat mendalam pelajar dalam teknologi di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman berkata dalam ucapan penutupnya bahawa BugCrusher bukan sekadar pertandingan pengaturcaraan.
“BugCrusher mengasah kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritikal dalam kalangan pelajar. Ia menyemarakkan inovasi dalam diri pelajar apabila mereka menyelesaikan masalah logik dengan bimbingan guru yang bertindak sebagai rakan penemuan, bekerja bersama-sama sepanjang proses,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa program seperti ini menyemai keyakinan dalam kalangan pelajar bahawa mereka juga mampu menjadi pencipta, inovator dan penyelesai masalah masa depan.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Kementerian Pendidikan, serta Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Pembelajaran Inovatif Komuniti (TCIL).
Oleh Norman B