
SIBU: Lebih 200 peserta menyertai Program ‘Brisk Walk’ 1.0 anjuran SKUAD Antidadah Sibu dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu di Dataran Bulat, Taman Tasik Permai, di sini semalam.
Acara larian santai sejauh dua kilometer itu bermula pada 6.45 pagi dan dilepaskan oleh Kaunselor Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Michelle Law.
Bertemakan ‘Lebih Baik Cegah: Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’, program tersebut bertujuan memupuk penglibatan masyarakat dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah selain menggalakkan gaya hidup sihat.

Antara pengisian program ialah penyerahan Jalur Gemilang sempena Program Minda Keselamatan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Cawangan Sibu, pendaftaran ahli baharu secara dalam talian, penyampaian mesej kesedaran kepada komuniti serta cabutan bertuah.
SKUAD Antidadah Sibu menyasarkan keahlian mencecah 5,000 orang menjelang tahun depan.
Turut hadir wakil Pejabat Residen Bahagian Sibu, Nursyarmila Jerius, Ketua Daerah AADK Sibu, Azimah Marsid, Pemangku Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Wilayah Sarawak, Lucas Lau Sieu Sing dan Setiausaha SKUAD Antidadah Sibu, Gloria Umi Dick.
Hadir sama Penyelaras SKUAD Aktif, Nasir Mohammad, Timbalan Penyelaras SKUAD Aktif, Nur Hazwani Yahya, Presiden Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak), Robinson Lebong, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta ahli SKUAD Antidadah Sibu.
Oleh Tarani Lanting