
KUCHING: DAP Stampin melaksanakan program bantuan sekolah tahunan bagi membantu mengurangkan beban kewangan keluarga daripada golongan B40 yang sedang membuat persiapan untuk penggal persekolahan baharu.
Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen, Michael Kong berkata ramai ibubapa sudah mula membuat persediaan untuk sesi persekolahan akan datang, namun kos sara hidup yang semakin meningkat terus menjadi cabaran terutama kepada keluarga berpendapatan rendah.
Beliau berkata pasukan tersebut telah mengunjungi SJK C Stampin, SK Satria Jaya, SK Stutong dan SJK Chung Hua No. 2 untuk mengagihkan kasut sekolah, bekas pensel dan botol air kepada para murid daripada keluarga B40.

“Barangan ini mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah orang, namun ia memberi makna besar kepada keluarga yang benar benar memerlukan sokongan ketika anak mereka bersiap untuk kembali ke sekolah,” katanya.
Kong menegaskan bahawa inisiatif tersebut mencerminkan komitmen DAP Stampin untuk melaksanakan program berteraskan rakyat yang benar benar memenuhi keperluan komuniti.
“Kami percaya setiap kanak kanak berhak mendapat akses dan sokongan yang sama rata dalam perjalanan pendidikan mereka. Kami akan terus memperjuangkan usaha yang dapat mengangkat martabat keluarga dan mengukuhkan masa depan generasi akan datang,” katanya.
Oleh Connie Chieng