
KUCHING: Majlis Penutupan Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 Motosikal anjuran Stampin berlangsung dengan jayanya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sam Hap Hin, Kota Sentosa, hari ini.
Program yang diadakan secara berterusan itu bertujuan membantu golongan sasar memperoleh lesen memandu motosikal secara sah, selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan jalan raya serta pematuhan undang-undang lalu lintas.
Majlis penutupan berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Stampin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen.
Program BLM Kelas B2 Motosikal ini merupakan antara inisiatif penting dalam usaha memperkasa komuniti setempat, khususnya golongan belia dan berpendapatan rendah agar dapat memiliki lesen memandu yang sah sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan kesalahan trafik.

Selain pendedahan berkaitan prosedur mendapatkan lesen memandu, peserta turut diberi penekanan terhadap aspek keselamatan jalan raya, etika pemanduan serta tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang berhemah.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi pempamer, penceramah serta pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini, sama ada daripada agensi kerajaan mahupun sektor swasta.
Kerjasama strategik antara pelbagai pihak ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang demi memperkukuh keselamatan, kesejahteraan serta pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya di negeri ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian, serta Pengarah LPKP Sarawak, Cornelia Wong.