Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Program bantuan Lesen Memandu B2 Bintulu tamatkan siri penyerahan, 685 peserta berjaya peroleh lesen
  • Utara
  • WILAYAH

Program bantuan Lesen Memandu B2 Bintulu tamatkan siri penyerahan, 685 peserta berjaya peroleh lesen

Utusan Sarawak 5 hours ago
STEVEN Kong Kai Seng menyampaikan ucapan mewakili Datuk Seri Tiong King Sing pada Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 2026 di Kemena Plaza Hotel, hari ini.

BINTULU: Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 2026 anjuran Parlimen P.217 Bintulu melabuhkan tirainya menerusi majlis penutupan dan penyerahan yang berlangsung di Phoenix Grand Ballroom, Kemena Plaza Hotel, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng, yang mewakili Dato Sri Tiong King Sing selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen P.217 Bintulu.

Pada majlis berkenaan, Steven menyampaikan replika Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada peserta sebagai simbol kejayaan mereka menamatkan latihan serta memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi program tersebut.

STEVEN Kong Kai Seng menyampaikan replika Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada peserta pada Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 2026 di Kemena Plaza Hotel, hari ini.

Program ini dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Pusat Khidmat Parlimen P.217 Bintulu dan Akademi Memandu Budiman, yang berjaya melahirkan seramai 685 peserta berkelayakan selepas menjalani latihan, ujian amali serta penilaian yang ditetapkan.

Dalam ucapannya, Steven menegaskan bahawa program ini merupakan inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan lesen memandu secara sah dan berpatutan, tetapi juga menekankan aspek keselamatan jalan raya.

“Setelah mendapat lesen, jangan sesekali terjerumus dalam aktiviti lumba haram. Utamakan keselamatan diri dan orang lain di jalan raya serta sentiasa ingat kepada orang tersayang yang menanti di rumah,” katanya.

RAKAM kenangan bersama para peserta dan tetamu kehormat dalam Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 2026 yang berlangsung di Phoenix Grand Ballroom Kemena Plaza Hotel, hari ini.

Steven turut menambah bahawa kejayaan 685 peserta memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pelaksana program dalam memperluaskan akses kemudahan kepada masyarakat.

“Kerjasama antara JPJ, Pusat Khidmat Parlimen dan akademi memandu ini menunjukkan bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kita mampu memberi impak besar kepada rakyat,” jelasnya.

Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Norizan Jili, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu (Bahagian Narkotik), wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pelbagai agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Sepanjang program, pelbagai pengisian turut diadakan termasuk ceramah keselamatan oleh PDRM, taklimat pembangunan diri dan digital oleh MOTAC serta MyDigital ID dan juga terdapat kaunter perkhidmatan bergerak JPJ yang memudahkan urusan orang ramai.

Selain itu, peserta dan pengunjung berpeluang menyertai sesi kuiz interaktif, lawatan ke ruang pameran serta cabutan bertuah yang menambah kemeriahan majlis tersebut.

Oleh Faizah Muzidi

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Bantuan katil pesakit boleh laras ringankan beban warga emas dan keluarga
Next: Industri balau terus diperkasa, jadi ‘bank’ ekonomi masyarakat Dalat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.