UNTUK ALBUM… Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bersama para tetamu jemputan merakamkan gambar pada Program ‘Bah Bedebat 2022’ anjuran RTM Miri, RTM Limbang dan RTM Bintulu di Miri, semalam.
MIRI: Program ‘Bah Bedebat 2022’ anjuran tiga stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) Peringkat Zon Utara Sarawak yang diadakan di Dewan Kampung Lereng Bukit di sini, disambut dengan meriah menerusi pelbagai acara.
Ia merupakan program bersepadu anjuran oleh RTM Miri, RTM Limbang dan RTM Bintulu yang bertujuan memberikan program radio di lokasi yang terbaik dengan mengadakan aktiviti turun padang bertemu dengan pendengar.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, semalam.
Ting dalam ucapannya berkata, peranan RTM sebagai sebuah media rasmi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kerajaan.
“Saya sedia maklum, sebagai sebuah saluran penyiaran, MIRIfm sentiasa memberikan dan menerbitkan rancangan yang terbaik untuk pendengar tanpa mengira kaum, bahasa dan agama.
“Ini semua adalah dalam usaha untuk meningkatkan lagi jumlah pendengar di samping menjadikan RTM sebagai sebuah saluran informasi terunggul serta memberikan hiburan yang terbaik,” kata Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau.
Tambah Ting, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya jualan serta pameran daripada pelbagai agensi.
“Semuanya adalah salah satu usaha RTM mendekatkan masyarakat setempat dengan agensi kerajaan yang turut serta.
“Dengan adanya pameran sebegini, masyarakat akan lebih tahu peranan sesebuah agensi yang terlibat,” katanya.
Selain itu, katanya, MIRIfm juga memberi peluang serta ruang kepada peniaga dan usahawan kecil yang turut serta dalam program tersebut dengan harapan dapat membantu peniaga dan pengusaha Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) khususnya untuk mempromosikan produk mereka.
“Ini selaras dengan Bandaraya Miri yang dikenali sebagai Bandaraya Pelancongan.
“Dengan cara begini, setelah orang luar mengenali produk mereka maka, ini secara tidak langsung akan dapat membantu meningkatkan lagi hasil jualan produk masing-masing,” ujarnya.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii yang juga ADUN Pujut dan Pengurus Stesen RTM Miri, Lydia Paya Rinyud.
Oleh LIONG CHAI LING