BAU: Polis Daerah Bau mengadakan Program Temu Mesra AMANITA bersama masyarakat di premis perniagaan berhampiran Mr DIY, Jalan Seringgok, hari ini bagi memperkukuh hubungan dengan penduduk setempat, khususnya golongan wanita.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, program itu bertujuan memberi penerangan mengenai fungsi dan peranan AMANITA, di samping mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.
Menurutnya, pegawai yang terlibat turut berkongsi maklumat mengenai trend jenayah semasa, mengedarkan risalah pencegahan jenayah serta menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis menerusi inisiatif AMANITA.

“Sepanjang program ini, seramai empat penduduk mendaftar sebagai Rakan AMANITA, manakala seorang lagi mendaftar sebagai ahli Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu usaha pencegahan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Daerah Bau dalam memperkukuh kerjasama dengan komuniti serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan dan pencegahan jenayah.
Oleh Connie Chieng





