Program Alpha Gen Talents@KEMAS lahir generasi berbakat, seimbang

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LAWAS: Program Alpha Gen Talents@KEMAS merupakan inisiatif bersepadu dan holistik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam melahirkan generasi muda yang berbakat, berkeyakinan tinggi, kreatif, berdisiplin serta memiliki semangat berpasukan dan jati diri yang kukuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, program itu mengetengahkan pelbagai kategori pertandingan dan pameran bakat yang merangkumi pembangunan jasmani, emosi, intelek dan sosial peserta.

“Program ini membuktikan bahawa pendidikan awal dan pembangunan modal insan bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik, malah turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan dan bakat secara seimbang,” katanya ketika merasmikan Program Alpha Gen Talents@KEMAS Peringkat Zon 5 di sebuah hotel di sini, semalam.

Paulus turut menggesa peserta, khususnya murid Tabika KEMAS yang mengambil bahagian, agar menjadikan pertandingan itu sebagai platform untuk menimba pengalaman dan mengembangkan potensi diri.

Beliau berkata, setiap kanak-kanak memiliki bakat tersendiri dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing serta menggilap potensi tersebut sehingga menjadi kebanggaan keluarga, masyarakat dan negara.

Program Alpha Gen Talents@KEMAS Peringkat Zon 5 disertai kontinjen dari tujuh kawasan Parlimen, iaitu Lawas, Limbang, Miri, Sibuti, Baram, Bintulu dan Hulu Rajang.

Pada kejohanan itu, kontinjen KEMAS Limbang muncul juara keseluruhan Zon 5 bagi 2026.

Antara kejayaan dicatatkan kontinjen itu ialah muncul johan bagi acara Huffaz Cilik (kategori lima dan enam tahun), Bicara Berirama dan Kids Athletics, selain menduduki tempat keempat dalam acara bola jaring.

Sebagai juara Zon 5, kontinjen KEMAS Limbang akan mewakili zon berkenaan pada Program Alpha Gen Talents@KEMAS Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung di Mukah pada Ogos ini.

Turut hadir Pegawai KEMAS Bahagian, Khairul Amree Abdul Rahman; Pegawai KEMAS Daerah Lawas, Sutinah Ibrahim, serta tetamu kehormat lain.

Oleh Adeng Edrus