
KUCHING: Unit Keselamatan Jalan Raya (UKJR) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dengan kerjasama Unit Penguatkuasa Bermotosikal (UPB) telah melaksanakan Program Advokasi dan Penguatkuasaan Merdeka di sebuah sekolah di sini.
Seramai 415 pelajar diberi pendedahan melalui ceramah keselamatan jalan raya yang disampaikan oleh Azizul Mohamad Anuar.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengutamakan aspek keselamatan jalan raya dalam kehidupan seharian.

Dalam masa sama, pasukan UPB turut menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan pelajar di kawasan sekolah.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 21 motosikal dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk tidak memasang cermin sisi serta cukai jalan tamat tempoh.
Notis ketidakakuran turut dikeluarkan kepada pemilik motosikal yang terlibat.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan pegawai JPJ bagi mendapatkan penjelasan lebih mendalam mengenai peraturan jalan raya serta langkah-langkah pencegahan kemalangan.
JPJ Sarawak menggesa ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau keadaan kenderaan yang digunakan oleh anak-anak mereka ke sekolah agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.
Oleh Norman B