BETONG: Industri produk tempatan berasaskan makanan dan kraf tangan di Daerah Betong mampu menarik perhatian pengunjung dari luar, sekali gus boleh diketengahkan lebih jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.
Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu berkata, daerah berkenaan dan sekitarnya adalah berpotensi besar untuk dimajukan dalam sektor pelancongan dan pertanian.
“Penganjuran Festival Makanan Marvellous ini adalah peluang untuk penduduk tempatan terutamanya dari Betong, Debak, Spaoh mengetengahkan produk mereka bagi menarik pengunjung luar datang ke Bandar Betong.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) baik dari segi industri makanan dan sebagainya untuk kita membantu usahawan kecil yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan dari segi suntikan dana, bantuan peralatan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Festival Makanan Marvellous dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pasar Tani Bandar Baru Medan Betong, malam tadi.
Festival Makanan Marvellous ini menyajikan sebanyak 70 reruai jualan makanan, minuman dan juga reruai menjual hasil kraf tangan.
Dr. Richard menjelaskan, peniaga dan masyarakat adalah dinasihatkan agar memastikan kebersihan tapak menjaja pada setiap masa agar tidak menjejaskan imej Bandar Betong.
Beliau berkata, masyarakat terutamanya peniaga yang berniaga di tapak Pasar Tani Betong mesti menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya dan cara hidup untuk memastikan bandar itu kekal bersih dan selamat untuk didiami.
“Bukan sahaja kepada peniaga, pengunjung yang berkunjung ke Pasar Tani Betong ini juga diingatkan agar menjaga kebersihan, pastikan Bandar Betong ini sentiasa bersih, dan pengunjung akan ramai datang ke Betong jika bandar ini bersih.
“Jadilah rakyat yang berdisiplin, jaga kebersihan termasuk persekitaran tempat berniaga, ekonomi kita juga akan berkembang, ia menjadi tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Dr. Richard berharap acara seperti ini akan berterusan diadakan, sambil menyarankan kepada pihak FAMA untuk berkolaborasi dengan mana-mana penganjur yang menganjurkan aktiviti berasaskan festival makanan untuk menjana ekonomi peniaga serta penduduk setempat.
“Diharapkan FAMA meneruskan berkolaborasi dan bekerjasama dengan mana-mana penganjur acara seperti yang berlangsung pada malam ini, tidak semestinya tertumpu kepada jualan makanan sahaja pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Adi Saparman