KUCHING: Memasang tekad untuk membantu penduduk tempatan di rumah panjang, Edward Ck Yong, 55 mewujudkan peluang pekerjaan menanam kopi bagi menjana pendapatan.
Produk kopi Edward yang juga merupakan Pengasas Sarawak Rainforest Excelsa Coffee pernah menembusi pasaran negara China dan Eropah selain turut dijual di beberapa buah pasaraya di negeri ini.
Namun demikian katanya, ia hanya dalam skala kecil atas faktor kos pengangkutan agak tinggi dan biji kopi yang dihasilkan masih belum dapat memenuhi permintaan tinggi dari luar negara.
“Biji kopi yang kami gunakan merupakan kopi yang ditanam, dijaga dan diproses di Sarawak dan jenama Sarawak Rainforest Excelsa Coffee mula diperkenalkan pada 2019.
“Pada dasarnya, saya berhasrat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada penduduk tempatan terutamanya mereka yang tinggal di rumah panjang dan tidak mempunyai pekerjaan lain selain menanam padi.
“Maka dari situ timbul inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan buat mereka dengan mengusahakan ladang kopi bagi menjana pendapatan,” jelasnya yang pernah tinggal selama 15 tahun di tanah tinggi Ba’Kelalan serta membantu penduduk di kawasan tersebut menjual hasil padi bukit selama 10 tahun.
Tambah beliau yang merupakan pakar kopi yang sah Jerman berkata kebanyakan masyarakat di Malaysia gemar untuk mengambil minuman tersebut namun tidak memahami perbezaan kopi yang wujud.
Jelasnya, kopi jenis Liberica merupakan spesies yang hampir pupus di dunia namun ia menghasilkan aroma yang wangi, kurang berasid dan manis meskipun tanpa campuran gula sesuai untuk diminum orang Asia.
“Ramai yang suka minum kopi setiap hari namun masih kurang pengetahuan mengenainya pada masa dahulu termasuk saya sendiri.
“Setelah mengenali seseorang yang bekerja di Jabatan Pertanian yang meminta saya untuk membantu penduduk tempatan di Ba’Kelalan menjual hasil kopi yang ditanam, saya bertekad untuk mendalami ilmu mengenai kopi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Pelancaran Expo Gardenscape Sarawak 2022 di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, baru-baru ini.
Menjelas lanjut, beliau kini mempunyai kilang pemprosesan biji kopi di Bintawa, Kuching serta mempunyai beberapa ladang penanaman kopi di Padawan, Sematan, Lundu, Sibu, Bakun, Kakus, Baram dan juga Bintulu.
Oleh RYNNA SHA’ERRA