Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • ProDR inisiatif penting selepas SCaT Fair – ADUN Meradong
  • TEMPATAN

ProDR inisiatif penting selepas SCaT Fair – ADUN Meradong

Utusan Sarawak 1 day ago
UNTUK ALBUM....ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bergambar bersama para pelajar yang hadir ke majlis perasmian TEGAS ProDR Siri Ke-10 di Dewan SMK Bandar Bintangor.


BINTANGOR: Jelajah Projek Impian Tercapai  (ProDR) merupakan satu inisiatif penting yang diperkenalkan selepas penganjuran Sarawak Career & Training Fair (SCaT Fair), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Ding Kuong Hiing.

Katanya, ia melibatkan 14 lokasi di seluruh Sarawak bermula 23 Julai hingga berakhir di Lundu pada 22 Ogos 2025. 

“Perjalanan selama 31 hari dengan penyertaan lebih 30 institusi dan agensi jelas menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasakan golongan belia di setiap kawasan.

“ProDR merupakan salah satu platform berimpak tinggi yang diwujudkan untuk memperkasakan semua golongan dengan kandungan kaya dan pelbagai, menawarkan segala-galanya daripada pendidikan ttama dan ekspo kerjaya ke ceramah motivasi inspirasi.

LAWAT PAMERAN….Datuk Ding Kuong Hiing meluangkan masa melawat pameran. 

“Pelajar berpeluang menyertai sesi praktikal seperti resume dan klinik kerjaya oleh PERKESO, serta aktiviti ‘hands-on’ termasuk Makmal Mini TEGAS Think & Thinker (T&T), STEM Playground, Cabaran Dron & Robotik dan Pameran Teknologi Masa Depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian TEGAS ProDR Siri Ke-10 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor, semalam. 

Katanya, sejajar dengan objektif utamanya, program tersebut membantu pelajar, terutamanya dari luar bandar, merealisasikan cita-cita mereka melalui pendidikan khususnya dalam bidang teknikal dan digital tanpa mengira latar belakang akademik demi tiada siapa yang ketinggalan.

“TEGAS, yang kini memasuki tahun ke-10, sentiasa komited membangunkan modal insan melalui ProDR dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi bagi memperkasakan generasi muda, meluaskan akses kemahiran digital dan merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dalam menghadapi cabaran Industri 4.0.

“Untuk makluman, industri aeroangkasa global semakin berkembang pesat dan Sarawak terus melonjak ke hadapan secara aktif dengan membina keupayaan dalam bidang penerbangan, teknologi angkasa lepas dan pelancaran satelit. 

“Bagi menyokong usaha ini, Majlis Penasihat Aeroangkasa Sarawak ditubuhkan untuk memperkukuh latihan, pendidikan dan kerjasama global dengan fokus utama kepada pembangunan bakat.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penubuhan Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu dan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS.

“Ia merupakan satu inisiatif penting yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Mei lepas dan dijangka mampu melahirkan tenaga mahir tempatan bertaraf global,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Sarawak menyasarkan 500,000 tenaga mahir menjelang 2030, satu matlamat besar yang memerlukan kesediaan belia, khususnya para pelajar yang hadir hari ini, untuk mengisi peluang pekerjaan masa hadapan.

“Saya menyeru para pelajar agar merebut peluang ini, terus berusaha dan menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi. Manfaatkan platform ProDR untuk mendapatkan maklumat tentang latihan, pengajian dan bantuan kewangan, serta terokai pilihan anda bagi merancang masa depan. 

“Sokongan ibu bapa juga penting dalam mendorong anak-anak, khususnya lepasan SPM, STPM dan pelajar Tingkatan 4 dan 5 untuk merancang laluan pendidikan lebih awal,” katanya lagi. 

Justeru itu, beliau turut berharap ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dapat membantu menyebarkan maklumat program ini agar lebih ramai mendapat manfaat. 

Koung Hiing turut mengumumkan peruntukan peralatan bernilai RM15,000 bagi penubuhan Makmal Mini T&T di SMK Bandar Bintangor sebagai usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan memberi ruang kepada pelajar menonjolkan bakat dalam inovasi.

Turut hadir wakil Residen Sarikei, Naim Zolkefli, Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang dan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad. 

Oleh Earl Anek 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Penutupan jalan sempena Perarakan Jalanan Kuching 2025 bermula hari ini
Next: 16 laluan ditutup berperingkat sempena Perarakan Jalanan Kuching 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.