
SIMANGGANG: Demi mengubah taraf hidup dan meningkatkan sosioekonomi, orang ramai digalakkan untuk proaktif dalam mengambil peluang yang mampu meningkatkan kemahiran.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata atas sebab itu, sebagai wakil rakyat kawasan ini, beliau mengharapkan agar segala bentuk bantuan, pembangunan, usaha dan saranan yang diberikan oleh kerajaan melalui agensi-agensinya, tidak kira persekutuan atau negeri, dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk.
“Dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo dan jaringan jalan raya yang baik menghubungkan bandar ke bandar, Sri Aman dengan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah laluan utama utara ke selatan menghubungkan Kuching dengan bandar-bandar besar lain. Justeru, koperasi, usahawan, petani dan penduduk perlulah segera merebut peluang agar ‘laluan emas’ ini menjana ekonomi yang melimpah ruah kepada kita semua.
“Di bawah teras strategik keenam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digariskan oleh kerajaan Sarawak, penekanan diberikan kepada peningkatan manfaat ekonomi dan sosial yang dapat dinikmati secara adil oleh semua anggota masyarakat.
“Salah satu langkah adalah dengan merancakkan pembangunan aktiviti berimpak tinggi di hulu dan hilir merentasi setiap kawasan. Inilah yang kita rancang dan sedang laksanakan di Sri Aman sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jom@Coop Mempromosi Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025 Sri Aman anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Sementara itu, Doris menambah antara aktiviti yang kini rancak dilaksanakan ialah penanaman padi berskala besar, menaik taraf infrastruktur pelancongan melalui Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan pembangunan kawasan Rehat dan Rawat (RnR).
“Kesinambungan kepada program pada hari ini, saya amat berharap pihak IKMa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) boleh terus memberi tunjuk ajar, memimpin dan melibatkan kesemua 41 koperasi aktif di bahagian ini sebagai salah satu alat mencapai sasaran PCDS 2030 bagi membangunkan ekonomi penduduk di sini agar menjadi lebih mantap dan utuh.
“Daerah ini mempunyai peluang dan potensi yang sangat besar, namun segalanya tidak akan mencapai tanpa tindakan sendiri daripada para koperasi dan usahawan.
“Kita mahu produk dan perkhidmatan daripada Sri Aman termasuklah hasil tani, kraf tangan, buah-buahan dan banyak lagi mampu menempa nama di seluruh dunia hasil promosi yang dijalankan oleh koperasi. Saya berharap pihak IKMa, SKM dan semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dapat membantu memastikan Sri Aman menjadi bahagian yang makmur,” jelasnya.
Program Jom@coop Mempromosi Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025 itu pada dasarnya menyahut inisiatif kerajaan dalam terus memperkasakan sektor koperasi terutamanya di Sarawak.
Turut hadir ialah Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni, wakil Residen Bahagian Sri Aman Jackline Medan Ikom, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Bahagian Sri Aman Priscilla Kay George @John dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Sarawak Wan Azizan Wan Zainal Abidin.
Oleh Adi Safarman