
TANJUNG MANIS: Program Jerayawara Project of Dream Realized (PRO-DR) merupakan platform penting dalam melengkapkan pelajar luar bandar di negeri ini dengan kemahiran dan pengetahuan teknologi terkini, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, inisiatif kerajaan negeri itu bertujuan memastikan pelajar luar bandar tidak ketinggalan daripada menikmati akses kepada pendidikan yang berkualiti.
“Inisiatif ini menyasarkan untuk melahirkan generasi berkemahiran tinggi melalui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita lihat anak-anak kita mempunyai minat dalam bidang ini… sekurang-kurangnya kita ingin berikan mereka pendedahan kepada maklumat terkini mengenai peluang pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Len Talif, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program PRO-DR Siri Ke-10 yang diadakan di Dewan IKS, di sini hari ini.
Tambah beliau, bagi menyemai minat pelajar terhadap teknologi sejak peringkat awal, PRO-DR turut menyokong pelaksanaan inisiatif T&T Mini Lab yang menyediakan ruang inovasi dan teknologi di sekolah luar bandar.
“Sejak dilancarkan, T&T Mini Lab telah berjaya diwujudkan di 25 sekolah, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai.
“Usaha ini bertujuan merapatkan jurang digital, selain meningkatkan keyakinan pelajar dan mempersiapkan mereka untuk bersaing dalam ekonomi digital,” katanya.
Bagaimanapun, ujar beliau, kejayaan usaha ini memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, komuniti, industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta bagi membentuk ekosistem pendidikan yang inklusif dan mampan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi menubuhkan T&T Mini Lab di SMK Belawai.
Turut hadir, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, dan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.
Oleh Earl Anek