
LAWAS: Suasana penuh semangat menyelubungi Hotel Seri Malaysia di sini hari ini apabila Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) melancarkan siri ke-10 jerayawara Project of Dreams Realized (Pro-DR) merupakan program pendidikan dan kerjaya yang menyasarkan golongan pelajar serta belia luar bandar di seluruh Sarawak.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang diwakili Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Linda Yabi.
Program jelajah ini akan merentas 14 lokasi selama 31 hari, dengan Lawas sebagai destinasi pembuka tirai.
Masuk tahun ke-10 penganjuran, Pro-DR kini berdiri sebagai bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam membangunkan modal insan dan menyediakan peluang pendidikan serta latihan kemahiran kepada belia di pelbagai pelusuk negeri.
Jerayawara Pro-DR bukan sekadar program tetapi ia platform sehenti yang menghimpunkan lebih 40 institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, serta penyedia pembiayaan untuk membuka peluang kepada belia mengejar impian akademik dan kerjaya mereka.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Henry menegaskan kepentingan inisiatif seperti Pro-DR dalam menyokong agenda ekonomi Sarawak yang kini diiktiraf Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi.
“Peluang pekerjaan tersedia, terutamanya dalam sektor TVET dan digital. Namun, kita masih kekurangan tenaga kerja mahir. Program seperti Pro-DR amat penting untuk membimbing anak-anak kita ke arah masa depan yang cerah,” katanya.
Antara kemuncak pelancaran ialah perasmian Bengkel Think & Tinker (T&T) Mini Lab di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas, sebuah ruang inovasi yang mendorong pelajar meneroka dunia digital dan teknologi.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi TEGAS untuk melahirkan bakat teknologi masa depan Sarawak.
Dato Henry turut menggesa pelajar agar merebut peluang yang ditawarkan.
“Isu kewangan tidak lagi sepatutnya menjadi penghalang. Gunakan kesempatan ini untuk berinteraksi, bertanya, dan merancang masa depan anda,” ujarnya, sambil merujuk kepada bantuan daripada Yayasan Sarawak, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Majlis yang berlangsung meriah itu menyaksikan kehadiran ratusan pelajar, lepasan sekolah, dan penduduk tempatan semuanya berkumpul dengan harapan dan cita-cita baharu, menjadikan Lawas sebagai titik permulaan kepada impian yang direalisasikan.
Oleh Adeng Edrus