
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang yang berkemungkinan diadakan akhir tahun depan, bakal menyaksikan belia berusia 18 tahun, berbanding 21 tahun sebelum ini, mengundi buat kali pertama.
Kelayakan umur pengundi 18 tahun, lebih dikenali sebagai Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik itu dijangka bertambah secara drastik.
Meskipun tiada maklumat terkini jumlah sebenar, angka sebelum ini menunjukkan jumlah pengundi di Sarawak mencecah lebih dua juta dengan pertambahan hampir 665,000 pengundi baharu sejak pelaksanaan Undi18 dan sistem pendaftaran automatik, selepas Disember 2021.
Meskipun, pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu, ia tidak sempat diguna pakai pada PRN Sarawak 18 Disember 2021.
Berikutan itu, PRN Sarawak yang lalu hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya yang dikemas kini sehingga 2 November 2021.
“Every vote means hope”, setiap undi yang diberikan belia adalah simbol harapan terhadap masa depan,” kata Timbalan Dekan (Hubungan Industri dan Masyarakat), Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Noratikah Mohamad Ashari.

Katanya, pembabitan generasi muda dalam politik merupakan kunci dalam menentukan hala tuju negara.
Bagaimana pula cita rasa belia untuk memilih calon atau pemimpin masa pilihan raya?
Menurut Dr Noratikah, belia kini lebih cenderung memilih pemimpin sebaya kerana mereka dianggap lebih mudah didekati, memahami aspirasi generasi muda dan mampu menyampaikan suara mereka dengan lebih dekat.
“Belia mengundi dengan harapan. Undi mereka adalah untuk sesuatu yang mereka mahu lihat berlaku pada masa depan.
“Cara paling bijak untuk memastikan masa depan berada di tangan mereka ialah dengan memilih pemimpin yang mempunyai kemahuan untuk merealisasikan harapan itu,” katanya yang kini aktif membangunkan penyelidikan berkaitan perubahan demografi, pembangunan kemahiran dan hala tuju belia di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak selepas membentangkan sesi komunikasi dalam Program Membina Belia Pencetus Perubahan dan Revolusi Minda di Hotel Samudra, di Kuching Jumaat lalu.
Program anjuran Utusan Sarawak ini berjaya menghimpunkan seramai 42 pelajar dari SMK Matu, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah, SMK Semop, SMK Padungan serta penuntut dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
KENAL PASTI POTENSI DIRI
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Unimas, Dr. Shantrol Abdullah, pula berkata belia harus diberi penekanan untuk mengenal potensi diri.
Katanya, ini bagi membolehkan mereka agar tidak terus kekal dalam zon selesa tanpa mengetahui bakat dan kekuatan sebenar yang dimiliki.

Beliau berkata potensi diri merangkumi keupayaan, kemahiran dan kekuatan terpendam yang wujud dalam diri setiap individu, namun perlu digilap supaya mampu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kalau potensi ini tidak digilap, belia akan terus kekal dalam zon selesa dan tidak sedar kekuatan sebenar yang ada pada diri mereka.
“Hakikatnya, setiap belia mempunyai kelebihan, cuma mereka perlu dibimbing untuk menzahirkannya,” katanya.
Bagaimana pula pemahaman belia termasuk Undi18 mengenai dunia politik yang terpaksa mereka harungi apabila mengundi dalam pilihan raya akan datang?
Menurut Prof Madya Dr Lucy Sebli Seidelson dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Unimas, kelemahan literasi politik dalam kalangan belia dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan golongan muda menjauhkan diri daripada arena politik negara.
Katanya, generasi muda kini dibanjiri dengan terlalu banyak maklumat sehingga sukar untuk membezakan antara yang benar dan palsu.
Beliau berkata keadaan itu menjadi lebih berisiko sekiranya belia tidak memiliki tahap literasi politik yang baik kerana mereka mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.
“Ada dalam kalangan belia yang memilih untuk tidak ambil peduli dengan tanggapan politik itu kotor, rumit dan tiada kaitan dengan kehidupan mereka.
“Sikap sebegini sebenarnya berbahaya kerana keputusan politik akan tetap memberi kesan kepada semua,” katanya yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang politik etnik, gender, migrasi serta pembangunan sosial di Sarawak.
Dr Lucy berkata, sikap apati politik wujud kerana belia tidak diberi pendedahan secukupnya mengenai proses politik dan hak mereka dalam sistem demokrasi.
SISTEM TIDAK MESRA BELIA
Katanya, ramai yang akhirnya menjauhkan diri kerana beranggapan politik hanyalah ruang untuk perebutan kuasa serta dipenuhi pemimpin yang korup.

Selain itu, jelas beliau, sistem politik negara juga tidak begitu mesra kepada belia apabila peluang untuk menyertai proses politik sebenar sangat terbatas.
“Ya, kita ada majlis belia dan sayap belia dalam parti politik, tetapi sejauh mana mereka benar-benar diberi ruang membuat keputusan? Kebanyakan hanya dijadikan tenaga kerja untuk berkempen, bukan dididik tentang hak memilih atau membentuk hala tuju politik sendiri,” katanya.
Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai satu bentuk tokenisme, di mana belia sekadar ‘dipamerkan’ seolah-olah terlibat tetapi tidak benar-benar diberi kuasa dalam membuat keputusan politik.
Tetapi menurut Dr Noratikah belia tidak boleh dibiarkan bergerak sendirian tanpa panduan kerana pengalaman dan kebijaksanaan hanya dapat diperoleh melalui proses kehidupan.
“Walaupun belia mempunyai tenaga, semangat dan idea segar, mereka tetap memerlukan bimbingan.
“Generasi lebih berusia perlu memainkan peranan sebagai mentor untuk sama-sama mencipta penyelesaian yang lebih baik. Inilah yang saya panggil sebagai ‘co-creation’, di mana belia dan golongan berpengalaman berganding bahu menentukan hala tuju bersama,” katanya.
Beliau percaya pendekatan itu penting kerana perubahan bermakna tidak hanya bergantung pada satu kelompok umur, sebaliknya memerlukan kolaborasi semua pihak dengan memberi lebih ruang kepada suara belia.
Beliau turut menekankan bahawa segala dasar yang digubal kerajaan akan memberi kesan langsung kepada golongan muda, sama ada sebagai penerima mahupun pencetus perubahan.
Justeru, suara belia perlu didengar dan diterjemahkan dalam bentuk dasar yang mampu menyentuh kehidupan seharian rakyat.
Katanya lagi, walaupun perbezaan utama antara belia dan generasi lebih berusia ialah tahap pengalaman dan kebijaksanaan, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk golongan muda diberi peluang memimpin.
Sebaliknya, sinergi antara kedua-dua generasi adalah kunci kepada penyelesaian yang lebih inklusif.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak