Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pilihan raya negeri Melaka akan diadakan pada 20 November, iaitu sekitar 30 hari lagi, hal sedemikian itu menjadi faktor bertiupnya spekulasi bahawa pilihan raya negeri Sarawak bakal diadakan sebelum tahun depan.
Ketika ini Sarawak masih berada dalam keadaan darurat kesiharan apabila Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) Ogos hingga 2 Februari 2022. Akibatnya, pilihan raya negeri (PRN) Sarawak digantung daripada diadakan sepanjang tempoh darurat. Yang di-Pertuan Agong dalam warta Kerajaan Persekutuan pada 30 Julai 2021 berpuas hati darurat besar, iaitu wabak Covid-19 masih berlaku yang boleh mengakibatkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.
PRN Melaka telah mencetuskan hasrat untuk memendekkan darurat tersebut. Lebih-lebih lagi, apabila menurut beberapa sumber di Kuala Lumpur mengesahkan Ketua Menteri Sarawak telah menghadap Raja Nazrin Shah selaku pemangku Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober bersamaan hari Isnin lalu. Antara lain, menurut beberapa sumber tersebut, Ketua Menteri menyatakan hasrat untuk untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak pada mana-mana tarikh sebelum hujung tahun ini berakhir.
Pertemuan tersebut bermakna sekiranya Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan segala pertimbangan yang menyeluruh, maka darurat boleh disingkatkan tempohnya. Ataupun, dalam tempoh darurat kesihatan ini boleh sahaja diadakan pilihan raya negeri sekiranya Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak.
Pilihan Raya Ketika Darurat
Dari segi sejarah, pilihan raya umum (PRU) pernah dilaksanakan ketika berlakunya darurat pada tahun 1948 sehingga 1960. Pilihan raya pertama negara yang diadakan pada tahun 1955. Malah, PRU kedua negara, diadakan pada tahun 1959 ketika darurat sedang berlangsung. Hal ini bermakna darurat bukanlah alasan untuk melengah-lengahkan sesebuah pilihan raya.
Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, negara seperti Singapura, Korea Selatan, New Zealand, Perancis, Australia dan Jerman mengadakan pilihan raya. Namun, di Malaysia, pilihan raya umum ditunda apabila krisis politik nasional berlaku menggunakan alasan darurat untuk mengelak mengadakan pilihan raya. Hal ini kerana Perikatan Nasional kurang bersedia menghadapi pilihan raya ketika isu ekonomi dan kehidupan rakyat banyak terjejas dan boleh menyebabkan kehilangan undi. Namun, di peringkat negeri pula, terdapat kecenderungan untuk mengadakan pilihan raya negeri kerana kerajaan sedia ada yakin mereka boleh kembali memerintah.
Sekiranya PRN Sarawak diadakan, kemungkinan besar diadakan pada penghujung November atau Disember. Bermakna, dalam masa singkat, persediaan GPS berada dalam keadaan terbaik setelah menunggu PRN sekian lama. Namun, cabaran sebenar GPS adalah sejauh mana mereka dapat mempertahankan pencapaian cemerlang pada PRN 2016, apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN Sarawak.
Sebarang peningkatan akan membuktikan kepimpinan Abang Johari dapat diterima seluruh lapisan rakyat Sarawak, manakala pengumuman-pengumuman serta program pembangunan di bawah pemerintahan diakui berkesan dan berimpak tinggi. Ketika endemik Covid-19 ini, ia akan menguji sejauh manakah endemik ini memberikan impak positif atau sebaliknya terhadap GPS.
Pro dan Kontra
Terdapat kebimbangan mengenai Undi 18 yang kurang diketahui arah dan hala tuju sekiranya PRN Sarawak diadakan selepas 2 Februari 2022. Kebimbangan terhadap kecenderungan pengundi yang kurang terjangka kesannya, khususnya dalam konteks Sarawak. Semua pihak, tanpa mengira GPS, PH atau PSB tidak boleh berasa selesa kerana apa-apa sahaja boleh berlaku akibat hayunan undi anak muda. Apa-apa sikap semasa menyantuni undi muda, belum tentu memuaskan hati mereka dengan gelora anak muda dan idealisme mereka. Justeru, tidak ada jaminan sesiapa atau parti mana yang akan disokong oleh pengundi berusia 18 tahun.
Kesemua ini bergantung pada lokaliti wilayah, literasi politik dan isu serta calon dari kawasan tertentu. Misalnya, di kawasan luar bandar dengan majoriti kawasan pengundi Bumiputera lebih cenderung menyokong GPS. Bagi kawasan bukan Bumiputera atau bandar, hal sedemikian bergantung pada kredibiliti calon dan isu-isu kawasan tertentu.
Tambahan pula, pengaruh keluarga juga sangat penting dalam menentukan siapa mereka (Undi 18) akan sokong. Sekiranya keluarga mereka menyokong pembangkang, ada kecenderungan ahli keluarga lain atau anak muda untuk menyokong pembangkang juga. Hal yang pasti, semua parti yang bersaing perlu menyantuni anak muda. GPS misalnya, perlu berbuat lebih banyak lagi pengisian untuk menarik pengundi muda, terutama untuk menambah atau bahkan menggandakan jumlah penerima biasiswa kerana banyak penerima yang layak tidak memperolehnya kerana kuota yang terhad atau rendah.
Menyantuni anak muda
Tindakan mengandakan jumlah penerima biasiswa tajaan Kerajaan Negeri misalnya, mampu memberikan impak besar kepada anak muda, kerana rata-rata mereka berkelayakan. Tambahan pula, perkara ini merupakan pelaburan modal insan yang akan diingati sampai bila-bila oleh anak muda. Dengan hasil pendapatan daripada cukai SST dari Petronas hampir RM 3 bilion, sudah pasti kerajaan negeri tidak ada masalah besar untuk menggandakan penerima biasiswa.
Kerajaan negeri dan pihak swasta perlu berganding bahu untuk menggandakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang sesuai dengan kelayakan mereka untuk mengelakkan masalah graduan yang menganggur bertambah buruk. Begitu juga keperluan membangunkan kawasan-kawasan DUN dalam penjanaan ekonomi bagi mengelak berlakunya penghijrahan graduan dari kawasan setempat ke bandar-bandar besar, termasuk ke Kuala Lumpur, Johor, Singapura dan sebagainya. Sudah tentu, terdapat keperluan untuk mendapatkan statistik sebenar di setiap DUN, jumlah graduan mengganggur dan strategi bagi menangani isu ini dengan membuka pasaran baharu setempat dan memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama membangunkan potensi diri, dan masyarakat.
Di pihak parti pembangkang pula, seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), dapat dilihat kebimbangan untuk bersaing dengan GPS yang dilihat mempunyai kelebihan. Oleh sebab itu, parti telah menghantar surat untuk meminta Yang di-Pertuan Agong tidak menerima sebarang permintaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri sebelum akhir tahun ini. Alasan PSB adalah tindakan sedemikian akan mempertaruhkan kesihatan awam dan bimbang akan berlakunya situasi sebagaimana yang pernah berlaku dalam PRN Sabah pada tahun lepas yang melonjakkan statistik kes jangkitan Covid-19. Namun, ketika itu penvaksinan belum lagi dilaksanakan berbanding kini, dengan lebih 90 peratus rakyat Sarawak sudah divaksinkan.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)