KETIKA penulisan ini dihasilkan, kira-kira 23,043 pengundi berdaftar menjadi pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) mengundi. Pengundi awal ini terdiri daripada perkhidmatan awam yang terlibat dalam pasukan keselamatan serta pasangan masing-masing yang berdaftar di 69 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Ketika ini juga, tinggal empat hari berbaki tempoh berkempen.
Sudah pasti kempen yang bermula sejak 6 Disember 2021 kini sedang rancak. Masing-masing calon dan parti sedang giat melakukan kempen mereka. Berdasarkan norma baharu kempen pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dikenakan kepada semua pihak bagi memastikan ancaman Covid-19 dapat dikekang.
Penulis bersama beberapa penyelidik rentas antara universiti yang terdiri daripada anak etnik tempatan seperti Iban, Bidayuh, Melayu/Melanau, serta Orang Ulu, berpeluang bekerjasama membuat penyelidikan mengenai pembangunan dan tingkah laku pengundi menjelang pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. Kajian fasa pertama ini melibatkan sekitar 2,000 responden soal selidik dan wawancara secara mendalam seluruh kawasan di negeri Sarawak. Fasa kedua pula melibatkan 2,500 responden. Kelompok ini mewakili pelbagai etnik yang mendiami negeri Sarawak dan terdiri daripada pelbagai lapisan kategori umur. Kajian ini yang menggunakan kaedah deskriptif dan multidimensi.
Pengundi lebih memilih parti daripada calon
Daripada kajian dibuat, 59.3 peratus memilih parti daripada calon dan sekitar 40.7 peratus pula memilih calon. Dengan kata lain, di Sarawak, pola pemilihan parti dilihat lebih dominan berbanding faktor calon. Mana-mana pertandingan berdasarkan prestasi parti, nama baik parti dan imej parti akan memberikan kesan besar dan menjadi penentu kemenangan. Misalnya, parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah jenama politik yang membawa kepada keyakinan dan kepercayaan rakyat di negeri Sarawak. Maka, PBB sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka akan memenangi hampir keseluruhan 47 kerusi yang dipertandingkan.
Faktor berdasarkan calon walaupun tidaklah sedominan faktor parti, namun dalam beberapa kerusi, hal ini sangat menentukan kemenangan. Misalnya, walaupun kerusi Dudong dikenali sebagai kawasan yang dikuasai pembangkang, apabila Pengerusi PDP bertanding, maka kerusi DUN Dudong yang sebelum ini penyandangnya ialah PSB, namun dipercayai semakin optimis apabila Tiong King Sing, ahli Parlimen Bintulu bertanding di kawasan tersebut. Hal ini kerana faktor calon, iaitu Tiong King Sing dianggap calon popular dalam kalangan masyarakat setempat tersebut. Tambahan pula, calon penyandang terdahulu, Datuk Tiong Thai King, yang popular telah meletak jawatan dalam PSB dan membuat kenyataan untuk memilih GPS di Dudong.
Di beberapa kerusi panas dalam PRN Sarawak, beberapa DUN dikenali pasti cenderung kepada faktor calon. Misalnya di kerusi Krian, Pakan, Engkelili dan Ba’Kelalan. Namun, perubahan sentimen boleh sahaja berlaku akibat kempen dan strategi dalam persaingan sesama calon yang bertanding.
Isu Rakyat
Berdasarkan kaji selidik dan wawancara mendalam di lapangan juga mendapati faktor kenaikan harga barang, kemudahan infrastruktur dan capaian internet, isu peluang pekerjaan dan pembangunan setempat adalah antara faktor yang menjadi isu utama di kawasan-kawasan pilihan raya. Rakyat misalnya, berasa kenaikan harga barangan perlu dikawal kerana hal berkenaan menyebabkan ketidakmampuan rakyat untuk terus sukar berdepan dengan masalah ini. Mereka mengharapkan kerajaan melakukan pelbagai langkah menangani isu ini agar kesejahteraan rakyat dapat disantuni dengan lebih baik.
Pengurusan Negeri
Persepsi pengundi terhadap pengurusan negeri Sarawak pula meletakkan pengurusan baik dalam kedudukan 68 peratus. Aspek pengurusan ini termasuklah dalam aspek bantuan dan kebajikan rakyat Sarawak, pengurusan ekonomi negeri, tadbir urus Kerajaan Negeri, hubungan etnik, dan pengurusan sumber negeri Sarawak. Dalam aspek bantuan dan kebajikan rakyat misalnya, mendapat kedudukan tinggi dalam pilihan rakyat apabila Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bernilai RM5.3 bilion mampu mengurangkan kesan dan menangani impak akibat pandemik Covid-19.
Langkah diakui oleh responden dalam beberapa temu bual termasuk dasar pengecualian (April 2020-Jun 2021) bayaran permit dan lesen perniagaan yang melibatkan kos lebih RM20 juta. Begitu juga pemberian diskaun 25 peratus kadar cukai pintu yang melibatkan perbelanjaan RM240.47 juta, selain memberikan diskaun sehingga 25 peratus bil elektrik dengan Kerajaan Negeri menanggung lebih RM500 juta untuk membantu rakyat mengurangkan bil elektrik tersebut.
Isu Perjanjian Malaysia 1963
Perkara yang menarik apabila berpeluang ke lapangan, khususnya di kawasan luar bandar, hampir majoriti pengundi berpandangan isu utama adalah isu-isu bersifat setempat yang lebih banyak mempengaruhi keputusan dan kecenderungan mereka untuk memilih wakil rakyat. Misalnya, isu mengenai kenaikan harga, isu jalan kampung yang perlu dinaik taraf, peluang pekerjaan dan masalah asas infrastruktur setempat. Isu MA63 kurang menjadi isu besar dalam kalangan masyarakat, khususnya di luar bandar.
Kerusi Panas
Tidak kurang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikatogerikan sebagai kawasan panas yang menyaksikan persaingan sengit antara calon mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pembangkang, terutama PKR, DAP, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), selain calon Bebas.
Antara kerusi panas berkenaan termasuklah Opar, Batu Kawah, Ba’Kelalan, Krian, Dudong, Ngemah, Telang Usan, Pujut, Engkilili, dan banyak lagi. Kebanyakannya masih dikuasai pembangkang yang sudah pasti menjadi sasaran utama untuk dirampas GPS pada PRN kali ini. Namun, terdapat perubahan kawasan panas, misalnya, kerusi Dudong dikenali sebagai kawasan kubu kuat pembangkang, namun kini selepas penyandang kerusi tersebut, iaitu Tiong Thai King menyeru agar pengundi Dudong mengundi GPS, maka terdapat sentimen dan angin perubahan mulai berlaku. Tambahan pula, Presiden PDP, Tiong King Sing bertanding di Dudong yang dikenali sebagai ahli politik popular dan mempunyai keluarga yang ramai di Dudong. Hal sedemikian inilah antara contoh perubahan dinamik yang berlaku kerana soal selidik dilakukan sebelum penamaan calon dan situasi kini ada yang sudah berubah.
Faktor kemenangan
Antara faktor yang dijangka membantu kemenangan calon GPS termasuklah berpunca daripada pelbagai bantuan di bawah program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bernilai RM 5.3 bilion, sama ada dalam bentuk wang tunai, mahu pun barangan disalurkan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, terutama semasa rakyat dilanda masalah Covid-19 berjaya mengurangkan kesan dan menangani impak lebih buruk akibat pandemik Covid-19.
Sumber kewangan baharu Sarawak bagi menampung BKSS tersebut adalah hasil daripada cukai jualan negeri (SST) ke atas produk petroleum maka, sebab itu Abang Johari dilihat mampu berunding dengan Putrajaya dan boleh menentukan kehendak Sarawak yang menjadikannya mempunyai keupayaan melaksanakan pelbagai pakej bantuan termasuk BKSS untuk mendepani pandemik Covid-19. Kebijaksanaan ini membantu meningkatkan populariti Abang Johari dan GPS yang dipimpinnya yang dijangka mendapat kemenangan majoriti dua pertiga yang bergaya dalam PRN Sarawak ini.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)