
PILIHAN Raya Negeri (PRN) di Sabah bukan sahaja mencerminkan persaingan politik antara pelbagai parti, malah turut dipengaruhi faktor luaran yang tidak boleh dikawal seperti keadaan cuaca.
Di negeri yang mempunyai geografi mencabar dan infrastruktur yang tidak sekata, cuaca buruk bukanlah satu kebetulan semulajadi, dan ini menjadi pembolehubah struktur yang menentukan arah dan corak PRN secara langsung.
Ketika hujan lebat melanda sepanjang tempoh kempen, pelbagai aspek pilihan raya terjejas — daripada kadar keluar mengundi, keberkesanan kempen, naratif politik hingga kepada psikologi pengundi.
Terdapat enam kesan utama cuaca buruk terhadap PRN Sabah.
Kadar peratusan mengundi
Cuaca buruk memberi impak besar terhadap pergerakan pengundi, khususnya di kawasan pedalaman seperti Pensiangan, Nabawan, Kemabong, Kuamut dan Telupid, serta komuniti sungai dan kepulauan seperti Kinabatangan, Pitas, Kudat, Belurandan Tongod.

Jika cuaca buruk berterusan misalnya, jalan-jalan yang ditenggelami air, kejadian tanah runtuh serta jaringan pengangkutan yang lemah menyebabkan ramai pengundi tidak dapat atau tidak mahu keluar mengundi.
Kadar keluar mengundi yang rendah lazimnya memberi kelebihan kepada parti yang memiliki jentera tersusun seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
Ini kerana mereka mempunyai rangkaian pengangkutan yang luas, penyokong akar umbi yang setia, serta sistem patronase yang sudah lama terbina.
Sebaliknya, parti seperti Pakatan Harapan (PH), PKR, dan DAP yang banyak bergantung kepada sokongan pengundi muda dari kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang akan terkesan apabila cuaca menghalang mereka pulang ke kampung untuk mengundi.
Strategi kempen fizikal berubah
Cuaca buruk memaksa pihak kalangan parti politik menyesuaikan bentuk kempen mereka. Ceramah besar sukar dianjurkan apabila hujan tidak berhenti-henti.
Aktiviti mendekati rakyat di kampung, lawatan rumah ke rumah dan sesi pertemuan sering dibatalkan pada saat akhir.
Situasi ini menyebabkan calon kehilangan peluang penting untuk meraih momentum, terutamanya di saat-saat akhir menjelang hari mengundi.
Dalam situasi ini, parti yang mempunyai keupayaan penyampaian digital seperti kempen melalui media sosial, What’sApp dan rangkaian komuniti akan mendapat kelebihan.

Pengundi tegar yang tidak memerlukan kempen aktif untuk diyakinkan juga menjadi aset berharga. Namun bagi calon Bebas, parti baru dan pihak yang cuba mencipta ‘gelombang saat akhir’ terutama di sesetengah kawasan, cuaca buruk boleh menjadi penghalang utama untuk mencapai keberkesanan kempen.
Cuaca sebagai naratif bencana
Di Sabah, banjir dan cuaca buruk bukan sekadar malapetaka semula jadi — ia menjadi medan penilaian rakyat terhadap kepimpinan politik.
Pengundi menilai pemimpin berdasarkan keupayaan mereka untuk turun padang, memberikan bantuan segera, menggerakkan pasukan kebajikan dan berkomunikasi semasa krisis.
Jika banjir berlaku dalam tempoh kempen, parti yang dapat menunjukkan tindakan pantas dengan menghantar bot, lori bantuan, bakul makanan, dan kehadiran fizikal — akan dapat lebih meraih kepercayaan rakyat.
Dalam hal ini, GRS yang mempunyai akses kepada agensi negeri dan pejabat daerah berada dalam kedudukan logistik yang lebih baik berbanding pembangkang.
Parti lawan terpaksa bergantung kepada NGO tempatan dan jentera sukarela sendiri untuk menunjukkan komitmen mereka.
Kesan emosi pengundi antara ketidakpuasan atau keyakinan
Cuaca juga membentuk reaksi emosi yang berbeza dalam kalangan pengundi. Dalam sesetengah kes, bencana cuaca menguatkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan sedia ada.
Pengundi melihat kegagalan infrastruktur, masalah perparitan dan banjir berulang sebagai tanda kegagalan kerajaan.
Perasaan ditinggalkan dan marah terhadap janji yang tidak ditunaikan boleh memacu undi protes secara senyap. Namun begitu, dalam kes lain, pengundi mungkin melihat kerajaan sebagai stabil dan prihatin, jika tindakan mereka pantas dan berkesan.
Respons empatik dan kehadiran fizikal semasa bencana boleh memulihkan keyakinan pengundi kepada pemerintah. Hal ini bermakna cuaca buruk boleh sama ada mencetuskan perubahan kerajaan atau mengukuhkan kedudukan penyandang dan ini bergantung kepada persepsi pengundi tempatan.
Cuaca buruk galak ‘pengundian berasaskan keutamaan tempatan’
Dalam situasi cuaca buruk, pengundi cenderung memberi perhatian kepada isu-isu tempatan seperti infrastruktur, perkhidmatan asas, pengurusan bencana dan kecekapan saluran bantuan.
Parti yang membawa naratif penyampaian perkhidmatan setempat, penyelesaian konkrit kepada masalah jalan raya, sistem perparitan dan bantuan kebajikan akan mendapat sokongan yang lebih tinggi.
Sebaliknya, kempen bersifat ideologi atau terlalu berpaksikan isu nasional akan kehilangan daya tarikan apabila pengundi fokus kepada keperluan seharian mereka yang belum ditangani.
Di Sabah, hal ini semakin penting kerana ramai pengundi lebih memikirkan kepentingan komuniti mereka berbanding agenda besar politik peringkat nasional.
Pertarungan pelbagai penjuru dan pengaruh cuaca
PRN Sabah sering menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru, antara 4 hingga 14 calon dalam satu kawasan. Dalam suasana sebegini, perubahan kecil dalam peratusan keluar mengundi akibat cuaca buruk boleh mengubah keputusan dengan ketara.
Cuaca menyebabkan pengundian berpecah (vote splitting) menjadi lebih ketara, dan kelebihan jentera penyandang menjadi lebih menentukan.
Parti yang berjaya memobilisasi undi secara mikro — melalui kumpulan What’sApp, ketua kampung, serta jaringan gereja dan masjid — akan lebih berjaya daripada parti yang terlalu bergantung kepada ceramah mega.
Malah, penurunan hanya 5-8 peratus dalam kadar keluar mengundi mampu mengubah keputusan di kerusi marginal, menjadikan hasil PRN sukar diramal.
Kesimpulan
Sekiranya berlaku cuaca buruk dalam PRN Sabah, maka ia bukan sekadar halangan fizikal kepada kempen, tetapi merupakan faktor penentu dalam pelbagai aspek pilihan raya.
Ia mampu menurunkan kadar keluar mengundi, mengubah strategi kempen, mencorakkan emosi dan persepsi pengundi, serta menukar arah tuju pertandingan pelbagai penjuru.
Dalam konteks ini, parti yang mempunyai jaringan akar umbi yang kuat, kapasiti logistik mantap, serta keupayaan menyampaikan bantuan dan naratif yang meyakinkan, akan berada dalam kedudukan terbaik untuk menang.
Sebaliknya, parti yang kurang bersedia dari segi mobilisasi dan jentera tempatan akan mendapati cuaca sebagai cabaran utama yang mengganggu strategi mereka.
Dengan kata lain, cuaca bukan hanya latar PRN Sabah — ia adalah pemain utama dalam pertarungan politik negeri itu.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.